PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, telah dicalonkan untuk menduduki kerusi Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) bagi penggal 2023-2027.

Turut dicalonkan enam individu lain iaitu Presiden Persatuan Bolasepak Qatar (QFA), Sheikh Hamad Khalifa Ahmed Al-Thani, Presiden Persekutuan Bolasepak Asia Timur (EAFF), Du Zhaocai dari China, Presiden Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) Kohzo Tashima, Presiden Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA), Chung Mong Gyu, Presiden Persatuan Bolasepak Filipina, Mariano Araneta, Jr dan Presiden Persatuan Bolasepak Arab Saudi, Yasser H. Almisehal.

Tiga pemegang jawatan itu ialah Du, Tashima dan Araneta Jr yang memenangi kerusi berkenaan pada Kongres Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ke-29 pada April 2019.

Daripada tujuh pencalonan itu, AFC akan memilih enam wakil untuk menjadi Ahli Majlis FIFA, termasuk seorang calon wanita yang juga ahli jawatankuasa eksekutif AFC.

Wakil wanita AFC dalam Majlis FIFA ialah Mahfuza Akhter dari Bangladesh, yang akan bersaing dengan Susan Riyad Abdelrahim Alshalabi (Palestin), Kanya Keomany (Laos), Liu Shyh Fang (Taiwan) dan Han Un Gyong (Korea Utara).

Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa dari Bahrain menang tanpa bertanding selepas menjadi satu-satunya calon bagi kerusi Presiden.

Pemilihan akan dibuat pada Kongres AFC di Bahrain pada 1 Februari depan.

Bagi jawatan Naib Presiden AFC yang memperuntukkan lima kerusi mengikut zon, persaingan enam penjuru membabitkan Hachem Haidar (Lebanon), Mehdi Taj (Iran), Dastanbek Konokbaev (Kyrgyzstan), Ugen Tsechup (Bhutan), Datuk Seri Zaw Zaw (Myanmar) dan Ganbaatar Amgalanbaatar (Mongolia).

Empat belas calon pula akan bersaing untuk merebut sembilan kerusi jawatankuasa eksekutif AFC.

Calon dari zon barat ialah bekas pemain Iraq, Adnan Darjal Motar, Louie Oumeish Yousef Oumeish (Jordan), Abdullah Ahmed Alshaheen Alrabeea (Kuwait), Salem Said Salem Al Wahaibi (Oman), Abdullah Nasser Aljneibi (Emiriyah Arab Bersatu), manakala dari zon tengah ialah Arslan Aynazarov (Turkmenistan) dan Ravshan Irmatov (Uzbekistan).

Tiga calon dari selatan ialah Dr. Shaji Prabhakaran (India), Bassam Adeel Jaleel (Maldives) dan Pankaj Bikram Nembang (Nepal). Calon dari Asean ialah Chris Nikou (Australia), Somyot Poompanmoung (Thailand) dan Dr. Tran Quoc Tuan (Vietnam). Wakil Timur pula ialah Eric Fok (Hong Kong).