PASUKAN hoki Singapura akan membuat kemunculan semula dalam Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak 2022 yang akan berlangsung dari 6 hingga 16 Oktober 2022 di di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Edisi ke-60 bagi kategori lelaki dan edisi ketujuh wanita itu akan menampilkan dua kumpulan bagi setiap kategori lelaki dan wanita dengan hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 menanti pemenang dan RM20,000 menjadi milik pasukan naib juara manakala RM10,000 untuk tempat ketiga.

Dalam sidang media yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Anil Sandhu, KHM turut mengumumkan pasukan-pasukan yang akan bertanding pada kejohanan kali ini.

 

Bagi kategori lelaki, Kumpulan A menampilkan juara bertahan, Perak yang akan bersaing bersama Terengganu, Kuala Lumpur, ATM, Negeri Sembilan dan Johor manakala Kumpulan B menampilkan Pahang, Melaka, PDRM, Selangor, Pulau Pinang, Perlis dan Singapura.

Manakala dalam kategori wanita pula, Kumpulan A diisi pasukan Kuala Lumpur selalu juara bertahan serta Melaka, Selangor dan Terengganu dengan Kumpulan B dibarisi pasukan Pahang, Pulau Pinang, ATM, Negeri Sembilan dan Singapura.

“Setelah sekian lama, akhirnya Singapura kembali menyertai Kejohanan Piala Tun Abdul Razak ini dan KHM juga akan mengalu-alukan kehadiran pasukan negara lain pada kejohanan akan datang,” kata Anil dalam sidang media itu.

Turut hadir dalam sidang media adalah Pengarah Kejohanan, P.Balamuraly dan Setiausaha Jawatankuasa Pertandingan KHM, Francis Xavier.

Anil juga mengesahkan kepada media bahawa Piala Sultan Azlan Shah akan diadakan di Ipoh dari 1-10 November 2022 dengan anjuran bersama KHM dan Persekutuan Hoki Antarabangsa (IHF).

Untuk rekod, Perak adalah juara bertahan bagi kategori lelaki manakala Kuala Lumpur bakal turun untuk mempertahankan kejuaraan mereka dalam kategori wanita.