BERAKHIRNYA empat siri perlawanan persahabatan Jelajah Eropah di Belgium semalam, menyaksikan begitu banyak kelemahan dalam skuad hoki kebangsaan yang melakukan persediaan ke Piala Dunia tahun hadapan.

Menang dua perlawanan tewas dua perlawanan, namun kelemahan paling ketara seperti dijelaskan jurulatih A Arul Selvaraj, adalah konsistensi, pertahanan dan juga serangan.

Malah paling ketara kelemahan skuad negara dalam mengambil penalty shoot-out, apabila Speedy Tigers tewas semua empat penalty shoot-out.

Keputusan penalty shoot-out pada siri persahabatan itu menyaksikan skuad negara tewas 1-3 kepada Belgium A, 2-4 (Belgium), 1-3 (Perancis) dan 5-6 (Perancis) pada perlawanan terakhir.

Jika inilah situasi sebenar berlaku pada Piala Dunia nanti, sejauh mana kemaraan skuad negara mampu pergi.

Justeru, aspek penalty shoot-out juga perlu diberi perhatian serius.

Menurut Arul, secara konsisten jurulatih itu menyatakan skuad negara kurang keyakinan memegang bola terutamanya ketika bertahan dan juga menyerang.

Kedua-dua aspek itu membuatkan pasukan negara dibolosi dan penyerang juga tidak mampu menjaringkan banyak gol.

Malah, dalam pertemuan terakhir menentang Perancis semalam. Pasukan lawan memperoleh 16 pukulan sudut penalty, sekaligus banyak peluang menjaringkan gol dihadiahkan pertahanan negara kepada Perancis.

Dalam masa sama, skuad bimbingan Arul hanya memperoleh enam pukulan sudut penalti.

Dasri segi body contact, mungkin paling sukar untuk skuad hoki negara dengan fizikal orang Asia menyaingi fizikal pemain Eropah, namun penekanan cuba diterapkan Arul yang mahukan pemain lebih lincah dan bijak mencari ruang, perlu diterjemahkan sebaiknya.

Masih ada masa dan ruang untuk memperbaiki pasukan dan pastinya, aksi di Piala Sultan Azlan Shah nanti menjadi KPI dan penanda aras sejauh mana kemampuan Speedy Tigers di Piala Dunia yang akan berlangsung di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India Januari nanti.