SUKAN baseball di Malaysia akan kembali rancak tahun hadapan apabila Persekutuan Baseball Malaysia (BFM) melancarkan Liga Baseball Kebangsaan 2023 dalam satu majlis di ibu kota pada Khamis.

Turut diumumkan adalah kerjasama BFM dengan dua syarikat korporat, Aeon Big (M) Sdn Bhd dan BubblesO2 Sdn Bhd yang turut menjadi penaja utama Liga Baseball Kebangsaan itu.

Liga yang akan dikenali dengan nama Aeon Big-Bubbles02 NBL 2023 itu menerima sejumlah tajaan sebanyak RM160,000 daripada Aeon Big dalam majlis yang turut dihadiri Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurut Presiden BFM Sazali Husain, setakat ini sudah ada enam ke tujuh pasukan mengesahkan penyertaan dengan NBL 2023 ini akan disertai pasukan negeri dan bukannya kelab.

“Hari ini adalah hari bersejarah buat BFM apabila dengan kerjasama dua nama besar ini kita akan melancarkan Liga Baseball Kebangsaan 2023. Dengan keyakinan ini, kita yakin dapat menjalankan liga dengan lebih baik dibantu satu pasukan yang profesional dan liga ini diharap dapat melahirkan lebih banyak pemain untuk pasukan kebangsaan.

“Setakat ini negeri yang sudah mengesahkan penyertaan adalah Johor, Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis dan penyertaan masih dibuka sehingga akhir Oktober ini dan kami menjangkakan 10 pasukan akan mengambil bahagian.

“Dengan menggunakan format negeri, BFM akan menjalankan pembangunan di setiap negeri dan pada masa yang sama kita akan membangunkan sukan ini untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan ini,” jelas Sazali.

Sementara itu Pengarah Urusan Aeon Big (M) Sdn Bhd, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed pula berkata syarikat mereka memilih untuk menaja sukan baseball adalah sebagai salah satu inisiatif untuk memberi semula kepada komuniti.

“Baseball adalah sukan yang baharu di Malaysia tetapi mempunyai pengikut yang ramai. Oleh itu kami dan BFM serta BubblesO2 mahu bersama-sama membangunkan sukan ini untuk diberikan semula kepada komuniti.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah Pengerusi Eksekutif BubblesO2, Arifin Marzuki yang turut teruja dengan kerjasama ini dan mahu menjadi pencetus kepada kebangkitan semula sukan baseball ini.

Aeon Big-Bubbles02 NBL 2023 dijadualkan akan berlangsung pada Januari 2023 dengan durasi selama tiga bulan dan BFM juga akan melancarkan Liga Baseball Wanita yang bakal menjadi liga wanita pertama di Asia Tenggara.

Untuk tahun pertama, pengelola liga membenarkan penyertaan pemain import untuk membantu meningkatkan kualiti sukan ini sekaligus mampu untuk membantu para pemain menimba pengalaman dan mendapat pendedahan yang baik untuk mencabar kuasa besar baseball Asia.