SKUAD Sri Pahang FC yang semakin meningkat naik sejak pertengahan musim liga kini mampu untuk memadamkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila bertemu dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur pada Jumaat.

Apa yang menarik, selepas berehat panjang hampir sebulan, Sri Pahang bakal berdepan cabaran tiga pasukan teratas liga pada baki tiga perlawanan dengan JDT, Sabah dan Negeri Sembilan menjadi penghalang.

Anak-anak buah Datuk Dollah Salleh kini berada pada tahap terbaik selepas berjaya membenam Sarawak United di tempat lawan dengan Steven Rodriguez kembali menemui sentuhan jaringan.

Steven Rodriguez

Sri Pahang juga perlu mengambil kesempatan atas kehilangan dua tonggak utama JDT, Shane Lowry yang mengalami patah siku manakala penyerang berbisa, Bergson Da Silva digantung akibat kad merah yang diterima ketika menentang Kedah.

Selain itu, skuad Tok Gajah ini juga adalah satu-satunya pasukan yang belum pernah tewas kepada JDT dalam aksi Liga Super musim ini selepas aksi di Stadium Sultan Ibrahim berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Namun begitu rekod Sri Pahang di laman sendiri tidak begitu meyakinkan apabila tewas dua perlawanan terakhir di tangan Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC dengan JDT pula mempunyai rekod terbaik di tempat lawan.

Hector Bidoglio pastinya sedikit tertekan untuk memilih kesebelasan terbaik kerana tanpa dua tonggak utama itu, pastinya sedikit perubahan perlu dilakukan terutama di bahagian pertahanan dengan Shamsul Saad dijangka digandingkan dengan Aidil Zafuan.

 

Kekuatan sebenar JDT terletak di bahagian tengah mereka dan Syafiq Ahmad bakal menjadi penggempur tunggal buat Harimau Selatan tetapi pemain lain juga boleh mendatangkan bahawa kepada Sri Pahang.

Sri Pahang juga perlu mencari mata maksimum dari baki tiga perlawanan dengan kesemua perlawanan di tempat sendiri untuk menghuni tangga yang lebih tinggi dalam liga sekaligus berjaya mengelak lawan yang lebih kuat di Piala Malaysia.

Tiga mata akan menyaksikan Sri Pahang kekal di tangga ketujuh tetapi jika tewas, Tok Gajah mungkin dipintas Selangor FC jika Gergasi Merah mampu menewaskan PJ City FC dan ini akan menyukarkan laluan Sri Pahang di Piala Malaysia nanti.