PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menerima undangan kunjungan hormat ke atas Presiden FIFA, Gianni Infantino di Doha, Qatar, bagi membincangkan pelbagai aspek pembangunan bola sepak.

Dalam pertemuan terbabit, Datuk Haji Hamidin turut memaklumkan kepada Infantino mengenai prestasi pasukan kebangsaan dan pembangunan bola sepak Malaysia.

Kedua-dua pihak juga berkongsi pandangan dan potensi kerjasama dua hala dalam bola sepak.

“Terima kasih kepada Infantino yang meluangkan masa beliau dan sentiasa mengambil berat dan menyokong bola sepak Malaysia.

“Bola sepak tidak akan berkembang di mana-mana negara tanpa sokongan FIFA,” katanya.

FAM adalah antara negara ahli gabungan yang turut serta dalam Program FIFA Forward iaitu mekanisme FIFA dalam memperkasakan negara anggota.

Ia merangkumi sokongan FIFA dalam pembangunan bola sepak, futsal dan wanita di Malaysia dan juga pembinaan Ibu Pejabat FAM dan pusat latihan kebangsaan di Putrajaya.

Terdahulu, Hamidin turut menerima undangan kunjungan hormat oleh ke atas Presiden Persatuan Bolasepak Qatar (QFA), Sheikh Hamad bin Khalifa bin Ahmed Al Thani di pejabatnya di Al-Bidda Tower, Doha.