PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino telah bertemu dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, di Doha, untuk membincangkan pelbagai perkara pembangunan bola sepak serta Piala Dunia FIFA akan datang, yang bermula di Qatar pada 20 November.

Selain aksi di atas padang, perkara legasi turut dibincangkan dan cara terbaik untuk menggunakan platform Piala Dunia FIFA sebagai pemangkin bukan sahaja untuk memberi inspirasi kepada negara atau rantau, tetapi benua dan akhirnya membantu untuk meningkatkan daya saing global di persada antarabangsa.

Ia merupakan bahagian terpenting dalam visi Presiden Infantino untuk menjadikan bola sepak benar-benar global.

Sebagai tambahan kepada kejohanan yang akan datang, Infantino dan Hamidin juga membincangkan pelbagai projek pembangunan bola sepak yang telah berlangsung di seluruh Malaysia.

“FAM telah terlibat secara aktif dalam program FIFA Forward, mekanisme yang mana FIFA mengagihkan pendapatannya kepada 211 persatuan ahlinya untuk membantu projek pembangunan bola sepak dan kedua-dua presiden itu dapat melihat kepelbagaian kerja yang dijalankan sehingga kini.

“Ini termasuk sokongan berterusan futsal dan liga wanita di Malaysia, serta pengubahsuaian ibu pejabat dan pusat latihan FAM baru-baru ini termasuk pemasangan padang, padang rumput dengan lampu limpah dan naik taraf futsal,” kata Infantino dalam laman rasmi FIFA.Com.

Kerja-kerja dijalankan oleh FIFA di seluruh Asia yang disokong oleh pejabat pembangunan serantaunya di Kuala Lumpur turut dibincangkan. Begitu juga dengan kerja-kerja meluas yang dilakukan dengan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), di mana Malaysia adalah ahlinya.

Kedua-dua presiden  itu juga sedang melihat perjalanan Piala Dunia Qatar yang bakal bermula dengan negara tuan rumah menentang Ecuador pada 20 November 2022.

Menurut Infantino, ia akan menjadi edisi pertama kejohanan yang berlangsung di dunia Arab, dan yang kedua semasa diadakan di Asia 20 tahun selepas ia pertama kali singgah ke benua paling ramai penduduk di dunia pada tahun 2002.