JURULATIH pasukan kebangsaan B-17 Indonesia, Bima Sakti mengakui sudah lama mengumpul video permainan Malaysia dan memahami kekuatan lawan menjelang saingan Kelayakan Piala Asia B-17 2023.

Indonesia akan berentap menentang Malaysia dalam perlawanan penentuan kelayakan di Stadium Pakansari, Bogor pada Ahad.

Selepas kemenangan menentang Palestin, Bima Sakti mengakui pasukannya telah memantau permainan Harimau Muda. Data pihak lawan telah dikumpul, malah bukan sekadar data perlawanan Kelayakan Piala Asia B-17.

“Menentang Malaysia, kami telah mengambil video (mengenai permainan mereka). Ia bukan sekadar kelayakan, daripada AFF kami telah melihat bagaimana mereka bermain, pemain mana yang perlu dijangka.

“Saya rasa mereka setara, ada beberapa pemain yang menyerlah. Saya rasa kami perlu lebih bersedia,” kata Bima Sakti dipetik sumber portal CNN Indonesia.com.

Pasukan kebangsaan Indonesia B-17 kini berada di tangga teratas Kumpulan B untuk kelayakan Piala Asia B-17 2023. Arkhan Kaka dan rakan-rakannya telah mengumpul sembilan mata daripada tiga perlawanan yang mereka harungi.

Skuad Garuda Muda itu berkelebihan dua mata di hadapan Malaysia yang berada di kedudukan kedua. Ini membolehkan Indonesia mengunci status pemenang kumpulan hanya dengan keputusan seri.

Malaysia sendiri mencatat dua kemenangan dan satu seri. Mereka menewaskan Palestin dengan jaringan 4-0 dan menang ke atas Emiriah Arab Bersatu, 3-2.

Tetapi mereka kehilangan dua mata semasa menentang Guam yang di atas kertas dianggap pasukan paling lemah. Malaysia hanya mampu seri 1-1 menentang Guam.