SKUAD Harimau Malaya B-16 kendalian Osmera Omaro meneruskan latihan di Stadium Mini Cibinong, Bogor menjelang aksi keempat dan terakhir Kumpulan B Kelayakan Piala Asia B-17 2023 menentang Indonesia pada Ahad.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang tiba di Indonesia, semalam, bagi menyaksikan perlawanan skuad kebangsaan menentang UAE turut meluangkan masa hadir menyaksikan sesi latihan hari ini.

Meskipun perlawanan menentang tuan rumah, Indonesia disifatkan sebagai pertembungan yang getir, namun skuad kebangsaan dilihat berada dalam keyakinan yang tinggi selepas menang 3-2 ke atas UAE semalam.

Skuad kebangsaan ketika ini berada di tangga kedua kumpulan B dengan dua mata dibelakang Indonesia dalam misi untuk memburu slot layak ke Piala Asia B-17 2023.

 

Sementara itu, kem negara perlu berjuang habis-habisan untuk dapat menewaskan Indonesia pada perlawanan terakhir Kumpulan B Kelayakan Piala Asia B-17 2023.

Kemenangan sememangnya menjadi kemestian buat Malaysia jika mahu layak ke peringkat akhir.

Ketika ini, Malaysia berada di tempat kedua dalam kedudukan dengan tujuh mata. Mereka berada dua mata di belakang Indonesia yang berada di tangga teratas.

Hanya pendahulu kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2023.

Namun, tugas Malaysia tak mudah. Semangat Indonesia sedang marak dan membuak-buak. Dalam tiga aksi yang berjalan, semuanya berakhir dengan kemenangan.

Manakala dalam jumlah perlawanan yang sama, Malaysia menang dua kali dan satu seri. Satu-satunya keputusan seri itu ketika berdepan Guam.

Bagaimanapun, Malaysia tidak gentar. “Indonesia adalah pasukan yang bagus dan mempunyai motivasi yang tinggi. Bagaimanapun, bola itu bulat,” kata Osmera seperti dilapor Antara.

Malah, kapten pasukan kebangsaan Malaysia, Muhammad Danish Darus dalam sidang media terdahulu turut menegaskan dia dan rakan-rakannya sudah bersedia untuk menentang Indonesia.

“Kami akan mengikut arahan jurulatih,” kata Danish.

Malaysia mesti menang ke atas Indonesia untuk mengunci tempat ke Piala Asia B-17 2023, manakala Indonesia hanya memerlukan keputusan seri daripada perlawanan untuk memenangi kumpulan dan mara terus ke Piala Asia.