WAKIL beregu campuran Ampang Jaya BC, Shevon Jamie Lai akui sedikit gugup pada permulaan perlawanan kerana sukar mengawal bola di gelanggang disebabkan angin yang kuat memasuki stadium.

Jelasnya, mata kemenangan yang diraihnya turut melakar sejarah bermakna ianya kali pertama Ampang Jaya mara ke perlawanan akhir Purple League sejak ianya dilangsungkan pada 2014.

“Kita memang cuba untuk kejutkan juara bertahan. Kita pun tahu dekat Genting, gelanggang berangin. Jadi kita harus cuba buat yang terbaik.

“Pada permulaan, saya sedikit nervous kerana sukar hendak kawal bulu tangkis kerana shuttle sangat laju. Saya settle down di perlawanan kedua,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan di Arena of Stars, Genting Highland.

Sementara itu, Goh Soon Huat akui pertemuan menentang juara 2016-2017 dari Petaling BC, Chen Tang Jie-Lai Pei Jing di pentas akhir esok merupakan suatu yang sengit dan menyifatkan Chen Tang Jie perlu diawasi kerana kepantasannya bakal mendatangkan masalah buat pasukan lawan.

“Permulaan agak lambat, pergerakan semua. Mereka sangat bagus. Saya rasa kita dua, akan buat yang terbaik.

“Mereka sangat baik. Saya rasa kita berdua ada kelebihan persefahaman bersama. Tang Jie sangat laju, kita kena hati-hati dan cakna,” ujarnya.