KELEMAHAN ketika bertahan dan menyerang, menjadi aspek utama yang perlu diperbaiki skuad hoki lelaki negara, selepas tamat empat siri Perlawanan Persahabatan Jelajah Eropah, di Belgium minggu lalu.
Ketua jurulatih A Arul Selvaraj berkata, kelemahan itu paling ketara ketika skuad kebangsaan menentang pasukan nombor dua dunia, Belgium yang sehingga gawang pasukan negara bocor tujuh kali dan gagal menjaring sebarang gol.
“Kita dapat rumuskan bahawa pasukan sangat kurang berpengalaman menentang pasukan seperti Belgium yang bermain dalam tempo tinggi.
“Contohnya seperti memandu, jika kita biasa memandu pada kelajuan 80 kilometer sejam (km/j) tiba-tiba memandu 180 km/j, pasti susah untuk mengawal kenderaan. Begitulah terjadi pada pasukan kita,” kata Arul, ditemui ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Justeru, katanya, pasukan kebangsaan memerlukan perlawanan berintensiti tinggi menentang pasukan kelompok lima teratas dunia setiap enam hingga lapan minggu.
Menurutnya, antara pasukan yang bermain dengan tempo tinggi adalah pasukan nombor satu dunia Australia, Belgium (2) dan Belanda (3).
Begitupun, Arul berkata, ada peningkatan ditunjukkan pemain ketika menentang Belgium berbanding perlawanan persahabatan menentang Australia sebelum aksi Piala Asia Mei lalu.
“Ketika menentang Australia pada April, pasukan hanya melakukan satu atau dua circle penetration, namun ketika menentang Belgium, pemain melakukan 21 circle penetration,” kata Arul.
Pada siri Jelajah Eropah, Speedy Tigers menang ke atas Belgium A, 1-0, sebelum tewas kepada skuad utama Belgium 0-7.
Pada pertemuan pertama menentang Perancis, pemain negara tewas 2-3, bangkit dengan kemenangan 4-2 pada perlawanan terakhir.
Arul berkata, pemain diberi rehat beberapa hari sebelum dipanggil semula memasuki kem kebangsaan dan akan bertolak ke Ipoh, Perak pada 27 Oktober bagi menghadapi saingan Piala Sultan Azlan Shah.