SAINGAN Skuasy Terbuka Amerika Syarikat (AS) menyaksikan dua wakil negara terpaksa pulang awal, apabila tersingkir di pusingan kedua kejohanan.
Pemain lelaki terbaik negara, Ng Eain Yow, gagal menyaingi kehebatan pemain nombor satu dunia dari Mesir, Ali Farag, apabila tunduk tiga set tanpa balas.
Eain Yow di ranking ke-26 dunia, terpaksa akur dengan kekalahan 7-11, 7-11, 7-11 dalam masa 35 minit.
Eaian Yow yang berpangkalan di Bristol berkata, sememangnya sukar untuk mencuri walau satu set daripada juara dua kali Terbuka AS.
Ali berkata, dia gembira dengan prestasinya kali ini dan berharap dapat mengekalkan momentum untuk mempertahan kejuaraan.
“Saya bermain dengan cemerlang di set pertama dan meneruskan permainan bertenaga di set kedua serta ketiga,” kata Ali.
Sementara itu, pemain wanita terbaik negara ketika ini, Rachel Arnold yang berada di ranking ke31 dunia, turut tewas kepada pemain Mesir, Rowan Elraby yang menghuni ranking kelapan dunia.
Rachel hanya mampu mencuri satu set sebelum tewas kepada Elraby 7-11, 5-11, 11-9, 7-11 dalam masa 37 minit.