RENANG dan Olahraga menjadi punca utama kontinjen Malaysia menduduki tempat keenam keseluruhan di temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi, Mei lalu.

Hal itu dipandang serius Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang menggesa dua badan induk sukan terbabit, hanya menyenaraikan atlet yang berpotensi pingat ke Kemboja, tahun hadapan.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, sehingga kini Persekutuan Renang Malaysia (MAS) tidak menunjukkan tanda-tanda untuk peningkatan atlet mereka manakala Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) ada potensi namun perlu memberi justifikasi rancangan masa hadapan.

“Berpandukan prestasi di Hanoi (Vietnam), renang menawarkan 40 pingat emas dan kita hanya dapat 1 sahaja, manakala olahraga pula, hanya 5 emas daripada 47 yang ditawarkan, itupun menerusi acara padang,” kata Norza, selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan MOM, di Wisma MOM pada Selasa.

Ketika temasya di Hanoi, skuad renang meraih emas menerusi Khiew Hoe Yean dalam acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki.

Manakala pingat emas olahraga pula disumbangkan atlet tukul besi lelaki dan wanita, Jackie Wong dan Gracie Wong, Nur Sarah Adi (lompat bergalah), Andre Anura Anuar (lompat kijang) dan Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera).

Kontinjen negara menamatkan saingan Sukan SEA Hanoi di kedudukan keenam dengan 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Sementara itu, Norza memberitahu MOM menetapkan kriteria atlet bertanding di Kemboja tahun hadapan di bawah kategori A dan B.

“Bagi kategori A, atlet (individu) hendaklah berada di tahap tiga terbaik peringkat Asia Tenggara manakala kedudukan empat terbaik bagi acara berpasukan.

“Kategori B pula, atlet hendaklah berada dalam kelompok enam terbaik di peringkat Asia Tenggara, namun atlet yang berusia 23 tahun ke atas dianggap atlet senior dan tidak layak berada dalam kategori B,” kata Norza lagi.

Katanya, Sukan SEA menjadi pentas buat pembangunan atlet remaja yang dijangka menyinar pada temasya 2025 dan 2027.

Justeru, beliau mahu peminat sukan memahami senario penyertaan di Sukan SEA