PRESTASI skuad renang negara yang suram ketika ini sehingga tidak lagi menjadi lubuk emas di temasya sukan serantau, perlu diambil serius badan induk pengurusan sukan itu.
Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, Persekutuan Renang Malaysia (MAS) memerlukan pendekatan berbeza dalam melahirkan lebih banyak bakat, selari dengan peredaran masa.
“Saya rasa, pendekatan luar biasa perlu digunakan, tidak boleh lagi mengharapkan persatuan negeri kerana kebanyakannya tidak berfungsi dengan baik.
“Mungkin boleh berkerjasama melalui kelab atau wujudkan pertandingan kompetitif antara kelab. Malah, bantuan boleh terus disalurkan kepada kelab,” kata Shapawi, pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di Wisma MOM hari ini.
Isu membabitkan prestasi renang kebangsaan timbul selepas hanya menyumbang satu pingat emas di temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam, Mei lalu, sekali gus menjadi prestasi terburuk skuad renang di temasya sukan serantau.
Beliau turut menggesa penekanan juga ditumpukan kepada sukan terjun, selepas melihat kualiti penyertaan atlet mewakili negeri di Sukan Malaysia (SUKMA), yang disifatkan beliau terlalu rendah.
“Mungkin terjun ni acara terlalu teknikal dan memerlukan jurulatih yang mengetahui aspek teknikal melatih mereka.
“Kita perlukan ‘direct aproach‘ dengan jurulatih di negeri-negeri kerana komitmen negeri amat penting,” kata Shapawi lagi.
Beliau berkata, tidak ramai atlet mahu sertai sukan terjun kerana terlalu teknikal, jadi perlukan pendekatan baharu sama seperti di lakukan pada 1998 ketika mewujudkan pusat latihan menerusi kelolaan jurulatih berkemahiran.