SKRIP di Stadium Darul Aman minggu lalu berulang di Stadium Sultan Ibrahim apabila JDT berjaya membenam cabaran Kedah Darul Aman FC dan menghadiahkan kekalahan keempat berturut-turut buat mereka dalam Liga Super.

Pertukaran taktikal pada babak kedua oleh pengendali JDT, Hector Bidoglio dengan membawa masuk Syafiq Ahmad dan mengeluarkan Akhyar Rashid dilihat berjaya mengubah permainan JDT yang akhirnya menang 4-1.

Seperti juga di Darul Aman, Kedah mendahului pada penghujung babak pertama menerusi Ronald Ngah Wanja namun kesilapan dan kealpaan barisan pertahanan Sang Kenari menyaksikan JDT mudah menjaringkan tiga gol dalam tempoh 18 minit di babak kedua.

 

Syafiq Ahmad menyumbang dua jaringan untuk gol pertama dan keduanya bersama Harimau Selatan manakala Bergson Da Silva turut menjaringkan dua gol untuk gol ke-27 nya musim ini sekaligus mengatasi rekod yang dipegang Ifedayo Olusegun.

Barisan pertahanan muda Kedah dilihat bergelut untuk menghadapi asakan dan tekanan yang berterusan dari bahagian serangan JDT hingga mudah melakukan kesilapan yang mudah dihukum dengan jaringan.

Beberapa pertukaran dilakukan Aidil Sharin Sahak untuk mengubah kedudukan permainan namun JDT ampuh bermain di hadapan lebih 16,000 penyokong setia mereka untuk kemenangan yang cukup selesa

Kemenangan ini menyaksikan JDT yang sudah bergelar juara kini hanya tinggal satu perlawanan sahaja lagi untuk bergelar ‘invincible’ musim ini dengan mencatatkan musim tanpa kekalahan.

Kedah pula jatuh ke tangga ketujuh selepas 21 perlawanan dan akan berhadapan calon Piala AFC 2023, Terengganu FC di Alor Star pada 15 Oktober nanti.