PRESTASI semasa yang baik ditunjukkan Selangor FC selepas kemenangan tiga perlawanan berturut-turut di bawah kendalian Tan Cheng Hoe setakat ini.
Terbaharu, skuad Selangor FC berjaya menundukkan Sarawak United FC dengan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Negeri malam ini.
“Satu perlawanan yang ‘tough’ selepas lawan PJ City FC (Jumaat lalu). Intensiti ‘down’ sedikit dengan dua tiga hari tak cukup rehat buat pemain. Tetapi itu bukan alasan, yang penting kita dapat tiga mata untuk kedudukan terbaik Liga Super.
“Sebagai jurulatih, masih banyak lagi yang perlu belajar dan yang penting pemain-pemain telah menunjukkan komitmen cukup tinggi. Malah mereka juga sangat komited dalam setiap perlawanan dan latihan,” jelasnya selepas perlawanan.
Dalam pada itu juga Cheng Hoe mengakui baki aksi Liga Super ini juga merupakan persiapaan untuk menghadapi Piala Malaysia dan musim depan.
“Setelah bersama pemain lebih kurang dua minggu, tiga perlawanan ia memberi gambaran awal untuk pemain-pemain kekal atau tidak bersama pasukan selepas ini,” tambahnya.
Selangor FC kini menduduki tangga kelima liga dengan mengumpul 29 mata selepas 21 perlawanan dan bakal berdepan dengan Penang FC bagi saingan terakhir Liga Super musim ini.