PEMILIK Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd. Daud Bakar berharap pemain Sang Kenari tampil lebih ‘berbisa’ pada aksi terakhir Liga Super musim ini apabila dijadual bertemu Terengganu FC pada Sabtu.
Menerusi satu kenyataan, Mohd. Daud berkata, beliau sendiri akan berada di Stadium Darul Aman bagi menyaksikan perlawanan terakhir KDA FC.
“Semoga Sang Kenari bermain habis-habisan, fizikal dan minda bagi menutup musim ini dengan kejayaan indah.
“Semoga semua penyokong Kedah datang ramai-ramai bagi memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan kita,” katanya.
Rekod Kedah dalam empat aksi terdahulu cukup mengecewakan. Tewas empat kali berturut-turut dan situasi ini meresahkan penyokong setia mereka.
Kini, tumpuan anak buah Aidil Sharin Sahak terarah kepada kempen Piala Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi.
Malah, head to head pertemuan kedua-dua pasukan dalam lapan perlawanan lalu lebih memihak Terengganu yang mencatatkan lima kemenangan dan satu seri berbanding Kedah hanya mampu menang sebanyak dua kali.