BEKAS Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menzahirkan ucapan tahniah kepada Kuala Lumpur City FC sambil menyifatkan mereka berhak mara sehingga ke perlawanan akhir Piala AFC 2022 atas keringat yang mereka curah di atas padang.
Jelas beliau, sebagai rakyat Malaysia, harus berbangga kerana memiliki wakil dari kelab negara ini yang mampu mencipta sejarah mara sejauh itu.
Kejayaan Kuala Lumpur City FC mara ke perlawanan akhir Piala AFC juga disifatkan pendedahan yang baik buat pemain menjadi lebih yakin apabila berdepan lawan.
“Saya nak ucapkan tahniah kepada Kuala Lumpur City FC (KL City FC) apabila kita lihat perjalanannya hingga ke final itu, memanglah berhak masuk ke final, kerana kesungguhan, teamwork, taktikal daripada jurulatih dan seluruh staf kejurulatihan.
“Kita bangga sebagai wakil dari Malaysia. Ia adalah bagus untuk bola sepak bahawa kita mesti ada satu impian yang besar di peringkat yang berbeza untuk mendapatkan satu pendedahan yang bagus, jadi ini memberi keyakinan untuk bola sepak,” ujarnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Mengulas tentang peluang yang dimiliki kelab tersebut apabila dijadualkan berdepan kelab Oman, Al-Seeb 22 Oktober ini, beliau melihat KL City FC memiliki peluang cerah untuk merangkul kejuaraan tersebut.
Bermain di laman sendiri bukanlah satu jaminan, tetapi apabila melihat bagaimana pasukan tersebut mampu mengharungi detik sukar dengan jayanya, ia merupakan suntikan moral kepada pemain yakin bahawa kali ini Piala AFC mampu direalisasikan kelab tersebut.
“Peluang itu nampak cerah kerana telah melalui detik-detik yang sukar dan dalam situasi yang sukar. Ini menunjukkan keyakinannya bertambah dan Kuala Lumpur City bermain di tempat sendiri atau di lapangan sendiri.
“Saya fikir bukan sahaja kelebihan kalau kita main di tempat lawan pun ia tidak menentukan tetapi saya lihat dari semua peringkat KL City FC nampak keyakinan mereka bertambah dan saya fikir bahawa mereka ada peluang yang bagus,” katanya.