“SAYA memang tak pergi ganggu orang lain, ‘pairing’ sekarang memang sudah tetap!.”

Itulah kata-kata pemain paling senior dalam skuad badminton kebangsaan, Chan Peng Soon.

Pakar beregu campuran itu enggan lagi dikaitkan dengan pertukaran rakan gandingan biarpun dia dan Cheah Yee See belum menunjukkan petanda positif untuk menjadi gandingan campuran digeruni.

“Cukuplah tukar-tukar ‘partner’ saya dah penat, kami perlu dapatkan keserasian dan cari kekuatan gandingan ini sampai menjadi. Sekarang dengan siapa saya bergandingan tidak penting, kerana paling penting adalah tanggungjawab saya dan Yee See sendiri terhadap gandingan ini.

“Biar menang atau kalah, kami mesti bertanggungjawab. Memang saya selesa dengan Tee See tapi atas gelanggang, kami bergelut dan mesti mencari penyelesaiannya,” kata Peng Soon.

Menurutnya, lebih empat tahun dahulu dia pernah bergandingan dengan Yee See, namun katanya, Yee See ketika itu umpama kain putih, dan dia masih boleh mencorakkannya.

“Dahulu, dia (Yee See) boleh ikut permainan yang saya mahukan, tapi selepas itu dia bergandingan bersama Hoo Pang Ron selama empat tahun. Dia sudah ada identiti permainan sendiri dengan corak menyerang, jadi sukar untuk kami menemui keserasian.

Peng Soon Chan, (kiri)  bersama Yee See Cheah. Foto: AP Photo/Rui Vieira

“Sekarang saya akan cuba mengikut cara Yee See. Lagipun saya akui kondisi diri saya pada usia 34 tahun tidak lagi sama seperti zaman muda ketika bergandingan dengan Goh Liu Ying.

“Saya perlukan lebih masa untuk ‘recovery’ dan tidak selincah dahulu,” katanya lagi.

Begitupun, selepas tiga bulan bersama dan tujuh kejohanan, kedua-duanya diihat bergelut mencari kemenangan apa lagi memburu kejuaraan.

Gandingan itu ketika ini berada di ranking ke-60 dunia, masih tertinggal jauh berbanding kedudukan bersama gandingan lama mereka.

Mengikut senarai raking dunia Federasi Badminton Dunia (BWF), gandingan Yee See bersama Pang Ron masih di kedudukan ke-40 dunia manakala Peng Soon bersama Liu Ying pula, masihs di keduudkan ke-17 dunia.

Gandingan campuran terbaik negara kini adalah Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang berada di ranking ke-10 dunia manakala Goh Soon Huat-Shevon Lai, ke-13 dunia.

Ruang buat Peng Soon-Yee See masih terbuka kerana boleh dikatakan tiada gandingan yang betul-betul dominan ketika ini kecuali empat ranking teratas yang terdiri daripada Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai (Thailand), Yuta Watanabe-Arisa Higashino (Jepun)  dan dua gandingan China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping, yang cukup konsisten di pentas antarabangsa.

Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai (Thailand) masih unggul di ranking No.1 dunia.

Mahu mencuba tapi perlu berpijak di bumi nyata, Olimpik Paris 2024 tetap diidamkan Peng Soon malah menjadi impian Yee See juga, namun mereka perlukan rentak kemenangan untuk mengatasi tahap keyakinan yang merudum gara-gara sering mengalami kekalahan.

Bagi Yee See, tiga kejohanan Terbuka Denmark, Perancis dan Hylo Jerman menjadi penanda aras untuk mereka bangkit pada tahun hadapan.

“Walau sesukar mana, kami perlu dapatkan rentak kemenangan dan keserasian. Saya mahu fokus pada tiga kejohanan ini dan berharap kami naik ke kedudukan ke-40 dunia hingga hujung tahun ini, barulah fikirkan mengenai impian memungut mata untuk melayakkan diri ke Olimpik Paris 2024, bermula Mei tahun hadapan.