AURA dua pemain import dari Amerika Syarikat (AS) dalam pasukan Kuala Lumpur Shark bagai tidak dihirau pemain Melaka Mousedeer apabila bangkit memenangi perlawanan selepas ketinggalan dua set awal, pada saingan Sooka Super Siries Volleyball (SSSVB 2022) yang berlangsung di Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, Shah Alam.

Ketua jurulatih Melaka Mousedeer, Muhammad Ammar See Abdullah berkata, setiap pasukan mahukan kemenangan pada set pertama, namun keupayaan untuk melakukan kebangkitan itu lebih besar dan gembira anak didiknya ada keberanian itu.

“Pada dua set pertama, agak kurang tersusun dan mereka mencari keserasian dan saya gembira mereka dapat melaksanakan percaturan yang dibuat,” katanya.

Menurutnya, meskipun Kuala Lumpur Shark memiliki dua pemain AS, David William McKienzie danThomas Patrick Goldsmith, beliau menerapkan kepada pemainnya agar tidak gentar.

“Saya pesan kepada pemain, jangan merendahkan keupayaan diri, jangan memandang rendah lawan dan hadapi setiap perlawanan dengan berani dan sentiasa tenang,” kata Ammar lagi.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kuala Lumpur Shark Soo Yoke Foong berkata, nasib tidak menyebelahi pasukannya yang berpeluang memenangi perlawanan itu, terutamanya pada set penentuan.

“Kita tak ada luck hari ini dan pemain sudah beraksi dengan baik.

“Permainan Kuala Lumpur Shark juga agak terjejas selepas David mengalami kecederaan,” kata Soo, yang berharap pemainnya bangkit pada perlawanan seterusnya.

Pada perlawanan itu, Melaka Mousedeer menang 25-27, 24-26, 25-14, 25-21, 17-15.