PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT) Hector Bidoglio berterima kasih dengan komitmen dan usaha yang ditunjukkan para pemain untuk keseluruhan musim ini selepas berjaya mencatatkan rekod tanpa kalah dalam Liga Super musim ini.

Dia yang menggantikan Benjamin Mora dilihat cepat mengadaptasi dengan pasukan kerana corak permainan yang diterapkan di JDT sama dengan corak permainan yang biasa dia gunakan pada kelab terdahulu.

Bekas pemain antarabangsa Venezuela itu juga memuji JDT yang dianggap bercita-cita besar dan dia sendiri gembira untuk menerajui kelab ini muncul juara dan mencipta sejarah.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemain atas usaha dan komitmen mereka sepanjang musim ini dan juga kepada kakitangan yang banyak memudahkan tugas saya sebagai jurulatih.

“Corak permainan JDT yang menggunakan formasi serangan 4-4-3 atau 3-5-2 menyamai corak permainan yang biasa saya mainkan sebelum ini oleh itu saya lebih cepat dan mudah mengadaptasi keadaan dengan pemain di kelab ini.

“Semua kelab dan pasukan adalah berbeza tetapi JDT adalah sebuah pasukan yang mempunyai cita-cita yang besar dan saya gembira di sini untuk memenangi piala dan mencipta sejarah bersama-sama,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Ditanya mengenai keadaan kecederaan yang dialami oleh Fernando Forestieri dan Shane Lowry, Hector berkata Forestieri tidak mengalami sebarang kecederaan sebaliknya mahu memberikan ruang kepada pemain lain untuk bermain manakala musim Lowry sudah berakhir akibat kecederaan yang serius dialaminya.

Hector juga gembira dengan Bergson yang baginya adalah penyerang yang lengkap kerana dia bukan hanya boleh menjaring malah membantu pasukan mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

Sejak ketibaan Hector ke JDT, dia telah berjaya memenangi dua trofi dengan menjuarai Piala FA dan juga Liga Super dan kini bakal mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Piala Malaysia.