“SAYA bukan Goh Liu Ying dan tak mungkin saya jadi dia!.”

Kata-kata diluahkan Cheah Yee See ini bukan isi hatinya semata-mata, namun hakikat yang perlu diakui.

Berbeza keadaan fizikal, umur, kondisi serta pengalaman, menjadikannya pemain yang berbeza jauh dari bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Liu Ying.

Mengakui buntu mendapatkan rentak kemenangan bersama gandingan Chan Peng Soon dalam beregu campuran, Yee See akur terlalu besar beban di bahunya.

Bukan sahaja membawa nama negara, malah rasa terbeban bergandingan dengan nama sebesar Peng Soon, yang mempunyai karektor permainan tersendiri yang selama ini amat sesuai ketika bergandingan dengan Liu Ying.

Begitupun, Yee See seorang yang cekal, bukan hanya di atas gelanggang begitu juga di luar arena pertandingan.

Cheah Yee See juga mahukan kemenangan dan berhasrat memungut pingat Sukan Olimpik buat negara

“Semua orang mahukan kemenangan dan tiada seorang atlet pun yang mahu tewas pada setiap perlawanan.

“Tapi untuk kami berdua, kami berada di fasa mencari apa yang perlu kami lakukan untuk mendapatkan kemenangan kerana gandingan kami belum stabil,” kata Yee See, yang kini berusia 26 tahun.

Memikirkan kemungkinan Peng Soon hanya akan beraksi di pentas antarabangsa untuk tempoh dua tahun sahaja lagi, Yee See sedar Peng Soon adalah bintang yang mampu menyerlahkan kerlipan dirinya di pentas badminton antarabangsa.

Menolak memikirkan kemungkinan gandingan baharu, Yee See tahu dia dan Peng Soon perlu saling menerima corak permainan gandingan antara mereka.

“Saya tak salahkan sesiapa, apa lagi Peng Soon yang selama ini berjaya bersama Liu Ying. Tak mungkin saya menjadi Liu Ying, bermain seperti dia. Corak permainan kami berbeza, dia seorang pemain yang bijak mengumpan lawan dan menggunakan ‘skill’ terutamanya di hadapan jarring.

“Malah Liu Ying juga tak mungkin dapat menjadi saya, tak mungkin bermain seperti saya kerana kondisinya, keadaan kecederaannya.

“Saya seorang yang bermain ‘all around’ sebab itu saya mesti bijak memahami pergerakan Peng Soon untuk kami bersatu menjadi satu pemain dalam gelanggang,” kata Yee See, yang baharu kembali berpasangan dengan Peng Soon selama tiga bulan dan menyertai  tujuh kejohanan bersama.

Perbincangan dan komunikasi dua hala penting untuk setiap gandingan dalam mencari keserasian

Melihatkan corak permainan Yee See bergandingan dengan Peng Soon, dia seakan tidak tahu ke mana untuk bergerak setiap kali berada berhampiran dengan jaring, dan hal itu diakuinya sendiri.

“Memang saya jadi tak tahu nak buat apa, dan banyak menunggu. Saya tahu jika Liu Ying berada di posisi itu, dia bijak mengumpan dan menyambar bola, saya pula selalu bermain menggunakan banyak tenaga,” kata Yee See.

Tidak mustahil gandingan Yee See bersama Peng Soon ini mampu digeruni lawan, sekiranya mereka dapat mengatasi masalah komunikasi di atas gelanggang.

Namun isu komunikasi bukan suatu yang mudah, kerana ia memerlukan masa dan pemikiran yang sama untuk Bersatu.

Mari kita doakan kejayaan gandingan Yee See-Peng Soon kerana siapa tahu jika mereka mampu menyinar di Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Hylo Jerman bulan depan, sekali gus membutirkan pingat emas pertama badminton di Olimpik Paris 2024.