ATLET kuda lasak negara, Mohammad Fuad Hashim, menepati ramalan menjuarai Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), hari ini.

Pemenang pingat emas berpasukan Sukan SEA 2017 itu tiba paling awal di garisan penamat dengan catatan masa 6 jam 54 minit 18 saat bagi kategori individu CEI 120 kilometer.

Kejayaan itu membolehkan Mohammad Fuad yang mewakili State of Terengganu Endurance Team (STET) merangkul piala pusingan, piala iringan, medal dan RM20,000.

Selain itu, Mohammad Fuad turut menerima RM25,000 lagi setelah kuda tunggangannya yang diberi nama M Traful daripada Argentina dinobatkan sebagai kuda terbaik.

“Kemenangan ini cukup manis setelah memenanginya dua kali sebelum ini iaitu pada 2018 dan 2019. Bagaimanapun tentangan cukup hebat diberikan peserta luar negara.

“Selain itu, cuaca yang tidak menentu juga menganggu keserasian bersama kuda yang terjejas dengan perubahan suhu ketika berlumba di laluan trek yang mencabar.

“Namun saya gembira muncul juara dan latihan sejak tiga bulan lalu membuahkan hasil,” jelasnya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas majlis penyampaian hadiah, pagi tadi.

Tempat kedua pula menjadi milik Aimin Azfar Nazulki (7:24:06s) daripada Best Endurance Team (BET) manakala wakil Royal Kelantan Endurance, Mohamad Hafiz Mustafa (7:41:05s), ketiga.

Masing-masing memenangi hadiah kemenangan wang tunai RM15,000 dan RM10,000 berserta piala iringan dan medal.