ENAM perlawanan terakhir Liga Super Malaysia musim 2022 berlangsung serentak pada Sabtu dan ianya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada peminat bola sepak tempatan.
Menerusi platform YouTube unifi, 4,156,000 tontonan dicatatkan dengan purata 692,666 tontonan mengikuti setiap perlawanan yang mencetuskan debaran terutama dalam perebutan tempat kedua liga.
Angka ini bagaimanapun tidak termasuk jumlah tontonan di platform lain seperti unifi TV, TV9 dan saluran Sukan RTM yang turut menyiarkan siaran langsung perlawanan terpilih.
Sambutan kejuaraan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim yang menyaksikan Harimau Selatan berjaya menewaskan Sabah 3-0 berjaya meraih 2.1 juta tontonan manakala aksi Penang FC dan Selangor FC mencatat 342,000 tontonan.
Perlawanan Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC di Stadium Darul Aman mendapat perhatian 1 juta penonton manakala cabaran Sri Pahang berhadapan Negeri Sembilan FC pula mendapat 438,000 tontonan.
Dua lagi perlawanan antara Sarawak United dan Melaka United serta PJ City FC dan Kuala Lumpur City FC hanya mencatatkan angka 172,000 dan 104,000 tontonan masing-masing.
Sekali lagi angka-angka ini membuktikan Liga Super Malaysia masih mendapat tempat di kalangan para peminat terutama dengan perebutan tiket ke Asia yang menarik.