BERBICARA tentang bola sepak di Malaysia, sosok individu ini sudah tidak perlu diperkenal kepada masyarakat lagi.
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah membuktikan sejak baginda mengambil alih secara penuh dari Johor FA pada 2016, ia merupakan titik perubahan kepada bola sepak negara terutama buat pasukan Johor.
Mana tidaknya, sejak bergelar kelab profesional dan segala tindak tanduk dan keputusan dibuat oleh TMJ, ianya jelas memberi sinar berterusan buat kelab tersebut.
Jika kita imbau kembali, sebelum tahun 2014, tiada siapa yang mengenali Johor seperti mana kita bercakap mengenainya sekarang ini.
Penghujung 2012 merupakan suatu detik hitam buat pasukan Johor FC dan Johor FA apabila masing-masing bergelut untuk kekal berada di saingan liga ekoran prestasi tidak memberangsangkan pasukan tersebut.
Kini, segala-galanya telah berubah, sosok kepimpinan baginda bukan sahaja mengubah landskap bola sepak di negeri Johor, malah turut membuka mata dunia terhadap kemampuan kelab bola sepak di Malaysia.
Sejak penjenamaan semula pada 2013, pasukan yang dahulunya terbahagi kepada Johor FA dan Johor FC, kini tampil dengan nama segar yang merupakan cetusan TMJ iaitu Johor Darul Ta’zim terus segar meniti di bibir peminat bola sepak tanah air.
Tidak boleh disangkal lagi, kepimpinan baginda bukan sahaja mengambil berat tentang rakyat Johor, namun baginda mempunyai keterampilan sebagai pemimpin hebat dalam bola sepak negeri Johor.
Dengan rombakan besar yang dilakukan terhadap pengurusan dan memilih hanya pemain yang memiliki kualiti untuk terus kekal bersama pasukan, nyata ianya usaha yang sangat baik dan menguntungkan.
Segala kejayaan terus dituai sehingga hari ini apabila JDT berjaya menjulang kejuaraan ke-9 Liga Super berturut-turut dan mara sehingga ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) menandakan jurang persaingan antara pasukan kelab tempatan lain juga sangatlah jauh.
Ditambah dengan malam gilang gemilang di Stadium Sultan Ibrahim dalam aksi liga terakhir menentang Sabah FC, mempersembahkan kehadiran penyanyi popular, Jason Derulo serta kemuncak ledakan bunga api memeriahkan suasana stadium bersama penonton jelas menunjukkan JDT sebuah pasukan yang perlu dikagumi.
Diharap kelab tempatan lain juga dapat menjadikan JDT sebagai contoh kegemilangan bola sepak tempatan untuk bersaing di peringkat tertinggi secara sihat dalam tahun yang mendatang.