TATKALA segelintir menganggap pemain import hanya menghiasi dunia bola sepak tempatan, ianya sama sekali disangkal apabila wujud seorang individu yang membuktikan dia sentiasa bernafsu meledak gol buat pasukan.

Individu yang dimaksudkan adalah penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim FC (JDT) Bergson Gustavo Silveira da Silva yang terus dahagakan gol bagi membantu pasukannya meraih juara kali ke-9 liga.

Perpindahannya dari Serie A Brazil, Fortaleza ke JDT melalui pinjaman pada 2021 merupakan suatu pelaburan yang benar-benar menguntungkan kelab dari selatan tanah dan pemain berusia 32 tahun itu.

Mana tidaknya, sejak perpindahannya ke kancah Liga Super Malaysia, penyerang kelahiran Brazil itu telah berjaya mencetak 23 gol dalam 20 penampilannya, Liga Super tahun 2021.

Manakala, penyerang berasal dari Alegrete itu terus unggul dengan ledakan berbisanya apabila berjaya merekodkan 29 jaringan pada saingan Liga Super 2022.

Ia sekaligus memadam pemegang rekod penjaring terbanyak musim lepas, iaitu bekas penyerang Selangor FC, Ifedayo Omosuyi dengan 26 gol dalam aksi Liga Super 2021.

Dia juga membukukan rekod sepanjang zaman dengan mencipta rekod jaringan tertinggi pada top flight pro football sekaligus memecahkan rekod jaringan 28 gol yang dilakukan oleh penyerang sensasi Kelantan, Hashim Mustapha pada tahun 1994.

Lebih manis lagi, penyerang sensasi JDT itu menutup aksi Liga Super 2022 dengan penuh bermakna apabila satu daripada dua gol yang dijaringkannya adalah menerusi sepakan gunting.