ATLET bina badan wanita negara, Dr. Aiesha Asmadi merupakan inspirasi kepada semua pesakit kanser yang masih bergelut dengan penyakit tersebut.

Sebelum berjinak-jinak dengan sukan bina badan, Dr Aiesha merupakan seorang bekas pesakit kanser.

Pada awalnya, dia hanya bertujuan ingin menambahkan tahap kecergasannya pada tahap yang optimum.

Namun, benarlah bak kata pepatah pucuk dicita ulam mendatang. Dari bergelar seorang doktor yang ingin pulih daripada penyakit kanser, dia secara tidak sengaja menyedari kelebihan yang dimiliki dari jurulatihnya, Zack Ermi yang melihat dia mempunyai  ‘X-Factor’ selain penyakit yang dihidapnya.

Percubaannya bersama jurulatih untuk hanya mendaftar dalam Kejohanan Man Of Steel 2015 nyata menjadi titik tolak perubahan dari seorang doktor kepada atlet.

“Saya berkecimpung sudah lebih kurang 10 tahun. Sebenarnya saya berasal daripada pesakit barah, dan kemudian setelah saya mendapat kecergasan optimum saya berjinak-jinak dengan sukan bina badan dengan tunjuk ajar jurulatih saya Zack Ermi.

“Sebenarnya saya masuk dunia bina badan kerana cita-citanya adalah untuk jadi cergas. Selepas saya menghidap kanser, saya sudah lemah dan hilang kecergasan.

“Apabila saya berjumpa dengan jurulatih  Zack Ermi, kami punya tujuan adalah semata-mata untuk menambah kekuatan otot dan stamina.

“Kemudian daripada pemulihan kanser, saya bertambah maju, dan selepas dua tahun, abang Zack percaya saya punyai bakat dalam bidang ini, kemudian kami daftar di Kejohanan Man Of Steel 2015 dan saya berjaya merangkul tempat ketiga, di situ memupuk saya berada lebih jauh dalam bidang ini,” katanya kepada media semasa sidang media Persatuan Bina Badan Malaysia (NABBA) di Taman Tasik Presint 8, Putrajaya.

Disebabkan prestasi menakjubkannya itu juga meletakkan Aiesha terpilih mewakili Malaysia pada kejohanan dunia yang bakal berlangsung di Leeds, United Kingdom.

“Oleh sebab pencapaian yang lepas saya telah dipilih untuk mewakili Malaysia pada NABBA Universe yang merupakan kejohanan dunia yang akan dilangsungkan di Leeds, United Kingdom,” jelasnya.

Insan ini perlu melalui perih jerih bergelut dengan penyakit paling digeruni itu sebanyak dua kali, selain terpaksa menamatkan tugasnya sebagai seorang doktor disebabkan rawatan penyakit yang terpaksa ditanggungnya.

Sejurus selesai mendapat rawatan, dia enggan menoleh ke belakang dan terus berkecimpung dalam bidang baru yang diminati serta cuba meneroka kemampuan diri secara total.

“Saya telah didiagnosa sebagai pesakit barah payudara sebanyak dua kali pada 2006 dan juga 2011.

“Pada masa yang sama, saya terpaksa berhenti berkhidmat sebagai seorang doktor dan juga mendapatkan rawatan pembedahan, radioterapi dan kemoterapi.

“Sebaik saja saya selesai mendapat rawatan, saya telah berkecimpung dalam bidang kecergasan. Di situ, saya gunakan will power untuk membongkar potensi diri,” ujarnya.

Dalam kesempatan yang diberikan, Dr Aiesha sempat menyampaikan pesanan kepada pesakit kanser yang lain agar jangan mudah berputus asa dan bangkit lebih jauh lagi kerana kita tidak tahu apa yang bakal berlaku di penghujung sesuatu yang telah kita lakukan.

“Saya ingin menasihatkan orang di luar sana, sekiranya anda mempunyai cabaran melawan penyakit barah, jangan cepat putus asa kerana apabila kita tabah dan lawan, kita punya willpower supaya kita bangkit lebih jauh lagi.

“Pasti ada cahaya di hujung terowong, hidup tak selalunya suram, akan ada pelangi selepas anda melakukan kerja anda,” kongsinya.

Sebagai rekod, Dr Aiesha pernah merangkul gelaran Ms Fit Angel 2017 (Fit Angel Classic Thailand), Ms Bikini Master Muscle Contest International 2018 (IFBB Pro League Thailand), Ms Sports Model Physique Master 2016 (NABBA WFF Singapore) dan naib johan IFBB Pro League Singapore 2018, IFBB Pro League British Finals 2019, Nathan Deashen Classic, United Kingdom 2019.