GOSIP yang tersebar di laman sosial kononnya bekas ketua jurulatih Vietnam,Park Hang-seo akan mengendalikan Kedah Darul Aman (KDA) FC adalah tidak benar.

Ia sejurus Aidil Sharin Sahak kini tidak lagi membimbing Sang Kenari dan tempatnya diisi penolongnya, Victor Andrag bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Perkembangan itu disahkan sendiri oleh pemilik kelab KDA FC,  Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar ketika dihubungi FLASH SUKAN.

“(Park Hang-seo) tidak dalam pertimbangan KDA FC,” katanya ringkas bagi menepis spekulasi liar yang ditimbulkan netizen.

Pada Isnin, kelab dari utara tanah air itu memaklumkan Victor akan terus berkhidmat sebagai pemangku ketua jurulatih (interim) KDA FC untuk baki saingan Liga Malaysia.

KDA FC akan mengharungi kejohanan TM Piala Malaysia bermula 25 atau 26 Oktober ini menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Darul Aman dan bertandang ke halaman lawan pada 31 Oktober atau 1 November.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Daud berkata, banyak tindakan perlu dilakukan untuk membentuk pasukan baru di masa hadapan dan juga dalam baki perlawanan di TM Piala Malaysia.

Menurutnya lagi, akan ada tindakan pentadbiran yang tidak popular dan sukar kepada sebahagian pihak dan ianya adalah perlu dan lazim dilakukan dalam pengurusan sebuah kelab bola sepak di seluruh dunia.

“Kepada individu yang telah berjasa dibawah naungan Sang Kenari, jasa anda sentiasa menjadi kenangan dan kekal dalam lipatan sejarah bolasepak Kedah. Tindakan yang sukar ini tidak menafikan rasa hormat dan penghargaan kami semua yang tinggi.

“Sekali bersama pasukan Sang Kenari, selamanya Sang Kenari! ,” katanya.