“‘EXPECTATION’ tinggi, tapi saya akan bawa pasukan menamatkan saingan di kedudukan terbaik di Piala Sultan Johor (SOJC).”
Demikian menurut Ketua Jurulatih Skuad Remaja Kebangsaan Muhamad Amin Rahim, selepas diberi kepercayaan membawa skuad remaja Bawah 20 tahun (B-20) ke cabaran SOJC yang akan berlangsung di Johor Bahru, minggu hadapan.
Amin yang juga penolong jurulatih skuad senior kebangsaan, sebelum ini dilantik membimbing skuad remaja melakukan persiapan ke Piala Dunia Remaja yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, Disember tahun hadapan.
Menurutnya, barisan pemain yang akan ke Johor terdiri daripada pemain berusia bawah 20 tahun dan kebanyakannya tidak mempunyai pengalaman di pentas antarabangsa.
“Pemain yang ada ini, dari segi tahap kecergasan dan fizikal masih lagi ‘raw’ sangat, hanya bermain di kejohanan tempatan.
“Tapi itu bukan alasan untuk saya kerana harapan diletakkan amat tinggi . Saya berterima kasih kerana persatuan mempercayai kredibiliti saya sebagai jurulatih dan saya akan membimbing skuad ini mendapat pencapaian terbaik,” kata Amin, dalam sidang media KHM memperkenal 18 pemain ke SOJC.
Daripada 18 pemain terbabit, hanya empat orang mempunyai caps antarabangsa iaitu Muhammad Amirul Haniff Mamat dengan 12 caps, Alfarico Lance Liau Jr, Muhammad Syawal Abd Razak dan Muhammad Faris Harizan, masing-masing enam caps.
Sebagai persediaan ke SOJC minggu hadapan, skuad negara akan beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Australia esok di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
“Perlawanan menentang Australia esok akan menjadi kayu pengukur terhadap kemampuan pasukan ini. Saya boleh melihat sejauh mana prestasi pemain.
“Pagi Rabu, kita akan bertolak ke Johor dan pada sebelah petangnya, skuad negara akan menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan menentang Great Britain, yang akan berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya,” kata Amin.
Terdahulu, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal menyenaraikan 18 pemain ke SOJC yang terdiri daripada pemain berusia bawah 20 tahun.
Beliau berkata, pemilihan pemain dibuat berdasarkan matlamat KHM yang mahu mencapai objektif sekurang-kurangnya ke separuh akhir Piala Dunia Remaja tahun hadapan.
“Skuad ke Piala Dunia Remaja ini tidak mempunyai pengalaman beraksi menentang pasukan antarabangsa, jadi SOJC menjadi landasan terbaik untuk mempersiapkan pasukan,” kata Subahan.
Mengulas mengenai pelantikan Amin membawa pasukan ke SOJC , beliau berkata, bekas pemain kebangsaan itu mempunyai kredibiliti dan mempunyai rekod baik ketika membawa pasukan hoki dalam dewan negara muncul juara Saingan Hoki Dalam Dewan Piala Asia, Ogos lalu.
Pada SOJC 2019, skuad negara menamatkan saingan di kedudukan ketiga selepas menewaskan Jepun 3-2 pada penentuan tempat ketiga.