MESKIPUN reputasi lawan di Siri 1, Kejohanan Ragbi Asia, Ragbi Wanita 7 sepasukan (7s) terlalu besar, tidak mustahil skuad wanita negara menempatkan diri di kedudukan empat terbaik.

Ketua Jurulatih Ragbi 7s Wanita kebangsaan, Muhammad Siddiq Amir Jalil berkata, ketiadaan Sri Lanka yang digantung Kesatuan Ragbi Asia (Asia Rugby) Mei lalu, membuka peluang itu buat skuad negara.

“Tanpa Sri Lanka, percaturan lebih bersasar kepada dua pasukan lawan iaitu China dan Hong Kong. Jika pasukan kita boleh atasi Hong Kong, kita sudah boleh berada di ranking empat terbaik Asia,” kata Siddiq.

Dia ditemui pada majlis Penyerahan Bendera dan Pengumuman Skuad Ragbi 7s Wanita ke Kejohanan Ragbi Asia 7s 2022, di Bangkok, 22 hingga 23 Oktober ini.

Katanya, berdasarkan ‘cakap-cakap’ komuniti ragbi Asia, Hong Kong juga bergelut melakukan persiapan seperti kekurangan pertandingan dan kesukaran mengumpul pemain.

“Tapi sejauh mana kebenaran masalah itu, kita tudak pasti. Apapun kita perlu mempersiap pasukan meskipun tidak cukup masa,” kata Siddiq lagi.

Sebanyak tujuh pasukan menyertai kejohanan, Jepun, Kazakhstan, Thailand, Filipina, China dan Hong Kong dan Malaysia.

Bagi saingan siri pertama, Malaysia diundi beraksi bersama China dan Hong Kong selain Sri Lanka yang berdepan penggantungan.

Dua pasukan teratas kumpulan A dan B, layak ke separuh akhir Cup, manakala dua pasukan di kedudukan ketiga dan keempat akan bermain di separuh akhir Plate.

Siri kedua kejohanan akan berlangsung pada 12 dan 13 November di Incheon, Korea Selatan manakala Siri Akhir pada 26 dan 27 November akan berlangsung di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Skuad Ragbi Wanita 7s Malaysia sedia galas cabaran di Bangkok.

Sementara itu, pada majlis terbabit, 12 pemain diumum menggalas cabaran negara ke Siri 1 Asia Rugby Sevens Series, diketuai Rozliana Mohd Ridwan sebagai kapten.

Naib Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Fahmy Jalil berkata, kesatuan itu mensasarkan skuad wanita sekurang-kurangnya menamatkan aksi di kedudukan keenam, selaras dengan kehendak Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membolehkan skuad wanita dimasukkan ke dalam program ke Sukan Asia.

Turut hadir, Timbalan Presiden KRM, Amir Amri Mohamad dan Naib Presiden Mohd Zaki Shahran

Untuk rekod, skuad wanita negara menamatkan saingan tahun lalu di kedudukan ketujuh daripada lapan negara bertanding.