SKUAD Kuala Lumpur City FC mencipta sejarah menjadi pasukan kedua negara layak ke perlawanan akhir Piala AFC selepas Johor Darul Ta’zim melakukannya pada 2015 dan mempunyai kekuatan tersendiri untuk muncul juara.

Pasukan kendalian Bojan Hodak ini terkenal dengan barisan pertahanan yang kental dan menjadi pasukan nombor satu mengikut statistik kekuatan pertahanan dalam Piala AFC musim ini seperti yang dikeluarkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Kuala Lumpur City FC adalah pasukan paling banyak melakukan hadangan percubaan, ‘interceptions‘, perebutan bola di udara dan pertembungan pertahanan dari enam perlawanan yang dihadapi sebelum ke final.

 

Barisan pertahanan yang dipimpin Giancarlo Gallifuco itu hanya melepaskan empat gol dari enam perlawanan dengan satu gol ketika peringkat kumpulan, dua gol di peringkat final zon Asean manakala satu gol ketika semi final antara zon.

Bojan Hodak juga sememangnya terkenal dengan taktikal disiplin bertahan seperti apa yang dipamerkan ketika menentang Viettel FC, Mohun Bagan FC dan ketika perlawanan akhir antara zon menentang Sogdiana Jizzakh.

Selain mempunyai barisan pertahanan yang mantap, KL City FC juga mempunyai dua penjaga gol antarabangsa yang bagus dengan Kevin Mendoza dan Azri Ghani masing-masing begitu cemerlang menjaga gawang terutama ketika penentuan sepakan penalti.

Kevin Mendoza dan Azri Ghani tunjang utama skuad KL City musim ini.

 

Namun mereka bakal berhadapan cabaran yang hebat pada final bertemu Al-Seeb dari Oman yang juga mempunyai kekuatan di bahagian pertahanan tetapi KL City mempunyai sedikit kelebihan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Apa yang menarik kedua-dua finalis ini pertama kali menyertai kejohanan tier kedua kelab Asia ini dan bakal melakar sejarah kelab masing-masing jika muncul juara pada 22 Oktober 2022.