BOS pasukan Honda, Alberto Puig mahu melihat Marc Marquez muncul di puncak prestasinya dan kembali ke podium di MotoGP Malaysia 2022.

MotoGP Malaysia 2022 akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad.

Puig juga berharap Marquez dapat kembali ke podium di Malaysia, seperti mana ketika dia muncul di MotoGP Australia.

Pada MotoGP Australia 2022 di Litar Philip Island, 16 Oktober lepas, Marquez berjaya menduduki tempat kedua di belakang Alex Rins dan mendahului Francesco Bagnaia.

“Kami hanya kurang laju. Apabila anda mempunyai penunggang seperti Marc, anda tidak boleh mengabaikannya. Ia tidak akan mudah, tetapi kita akan lihat apa yang berlaku.

“Perkara yang paling penting ialah keadaannya telah bertambah baik dan Honda perlu memberinya alat untuk melakukan apa dia boleh lakukan,” kata Puig, yang berharap untuk melihat Marquez di podium sekali lagi di Malaysia, dipetik daripada GP One.

Bekas pelumba MotoGP itu sedar bahawa Honda masih perlu melakukan penambahbaikan untuk meningkatkan prestasi pada 2023.

“Kami akan terus berusaha pada masa depan, untuk membawa motosikal terbaik dan membawa gelaran kembali kepada Honda. Ini adalah komitmen dan tugas kami sebagai syarikat terkemuka dalam bidang perlumbaan,” kata Puig.

Bagaimanapun, menurutnya, pasukan Repsol Honda dan HRC amat gembira melihat Marquez mampu bersaing semula di kedudukan pendahulu.

“Dari sudut pandangan Pasukan Repsol Honda dan HRC, kami sangat gembira untuknya dan sudah tentu untuk memimpin semula. Tetapi tumpuan terarah kepadanya sekarang kami tahu apa yang dia derita dan kami tidak boleh memberinya apa-apa selain rasa hormat dan kagum terhadapnya, usaha yang dia lakukan untuk kembali ke kondisi dan mencapai tahap ini,” kata Puig lagi.