AMATEUR Football League (AFL) baru-baru ini mengadakan Program Persediaan Liga M3 2023 bagi 14 pasukan yang bakal bersaing di musim 2023 di Hotel Armada, Petaling Jaya.

Dalam program itu, para peserta program yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Operasi dan Setiausaha Pasukan Liga M3 telah didedahkan dengan perancangan AFL untuk Musim 2023 khususnya bagi penganjuran pertandingan.

“Antara perkara penting yang telah dikongsikan adalah Format Pertandingan, Kalendar, Kelayakan Pemain dan Pegawai Pasukan dan lain-lain perkara sebagai panduan untuk persiapan awal menjelang ‘Sepak Mula’ musim baharu yang dijadualkan berlangsung seawal Februari 2023.

“AFL turut memperkenalkan pelbagai inisiatif yang sedang giat dilaksanakan untuk membantu Pasukan-pasukan Liga M3 memperkembangkan identiti masing-masing khususnya dalam aspek penjenamaan, janaan pendapatan dan komuniti,” demikian kenyataan AFL dalam Facebook pada Rabu.

Program ini dirasmikan oleh Timbalan Presiden FAM merangkap Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.