PENYERANG Kuala Lumpur City FC, Mohd Safee Mohd Sali nyata mengimpikan untuk bermain dalam aksi final Piala AFC 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, setelah pasukannya berjaya melangkah ke peringkat akhir kejohanan tersebut.
Pun begitu, dia sedar harapan untuk diturunkan mungkin hanyalah ‘angan-angan’ kerana apabila dia hanya berada di bangku simpanan sepanjang kempen Piala AFC kali ini kerana perancangan tersendiri jurulatih, Bojan Hodak.
“Memang saya impikan untuk bermain tetapi secara realiti saya tidak mungkin berada dalam kesebelasan utama kerana sepanjang kempen Piala AFC ini saya sudah lama tidak bermain.
“Ketua Jurulatih mempunyai perancangan tersendiri tetapi saya sentiasa bersedia jika saya diberi peluang meneruskan,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.
Meskipun dilanda masalah jadual perlawanan yang padat serta mengharungi jarak destinasi venue yang jauh sebelum ini, namun pemain KL City FC tetap mampu memberikan fokus terhadap permainan dengan baik.
“Bagi saya yang paling penting, pemain-pemain KL City FC yang harus memberi sumbangan yang sangat besar dalam pasukan meskipun dilanda pelbagai cerita dan masalah tetapi pemain masih lagi meneruskan tumpuan terhadap permainan. Saya rasa pemain dapat memikul tanggungjawab itu dengan baik ,” ulasnya.
Tidak dinafikan pasukan Asia Barat memiliki kelebihan dari segi fizikal, namun dengan bantuan pemain import KL City FC mampu menghadirkan keputusan positif.
“Untuk perlawanan final, saya rasa masih lagi 50-50, tetapi kita mengetahui kelebihan pasukan dari Asia Barat punyai fizikal dan corak permainan yang berbeza dengan tahap permainan kita tetapi dengan bantuan pemain asing yang kita ada, ia membantu kita meraih kemenangan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Safee turut memuji kelibat penyerang, Romel Morales kerana memiliki skill individu yang tinggi serta mampu membuat serangan pantas untuk mengucar-ngacirkan pertahanan lawan.
“Romel telah bermain dengan baik dalam liga Piala AFC. Dia membantu bahagian serangan, membuat serangan dengan cepat, saya rasa dengan aura final dia akan menjadi pemain yang akan diawasi Oman,” katanya.
Bagaimanapun, Safee mengingatkan rakan sepasukan agar berwaspada terhadap percaturan yang bakal ditampilkan pasukan dari Asia Barat itu sambil mengintai peluang melakar sejarah bermakna buat KL City FC.
“Kita harus berwaspada dengan pihak lawan dan corak permainan yang bakal ditampilkan Al – Seeb. Kita tidak mahu terlalu yakin atau melaungkan semangat kemenangan tetapi kita menghormati kelab dari Oman,”ujarnya.