PERTAHANAN Kuala Lumpur City FC, Declan Stephen Lambert Lee Kit Meng mensasarkan clean sheet pada aksi final Piala AFC apabila bakal bertemu kelab Oman, Al Seeb Sabtu ini dalam aksi hangat di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Jelasnya, fokus harus diberikan serta perlu sentiasa mengikuti pemain yang memiliki fizikal yang lebih besar kerana mereka mampu mengubah rentak permainan dengan kadar segera.
“Kita telah dapat klip perlawanan pasukan lawan, mereka mempunyai skil individu yang cukup tinggi. Sebagai pertahanan, saya tentunya inginkan clean sheet.
“Kita pernah bermain dengan pasukan yang lebih besar dan kuat dari kita. Uzbekistan juga bermain seperti itu. Kita harus mengikuti pemain mereka dan fokus kepada serangan mereka. Harap kami dapat lakukan sekali lagi,” ujarnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Dalam pada itu, Declan sangat gemar taktikal yang dipamerkan jurulatihnya, Bojan Hodak kerana menerapkan elemen bermain secara berpasukan serta lebih kepada gaya ‘defensive‘ tetapi hasilnya pasukan masih berjaya mara ke final.
“Saya sangat sukakan cara latihan Bojan Hodak. Taktikal yang dipamerkan luar biasa. Dia adalah seorang juara. Dia tahu apa yang diinginkan.
“Dia sangat fokus kepada pasukan bukan secara individu. Meskipun kita bermain lebih defensive, tetapi kami telah berjaya ke perlawanan akhir,” katanya.
Biarpun turun sebagai underdog, Declan akui KL City FC akan tetap menghormati kelab Al-Seeb tetapi yakin mampu menghadirkan kejutan jika keseluruhan pasukan menampilkan persembahan terbaik.
“Saya rasa semua pemain sedikit teruja dan sedikit gemuruh. Piala AFC berbeza dengan Piala Malaysia dan saya rasa Oman merupakan suatu pasukan yang sukar ditentang.
“Saya rasa kami akan bermain sebagai underdog untuk final kali ini. Sebelum ini, kami sentiasa bermain sebagai underdog. Terpulang kepada pasukan mana yang main lebih baik pada setiap saat,” jelasnya.