MEMENANGI Piala AFC 2022 bukan sahaja mengubah permainan Al Seeb SC, tetapi untuk keseluruhan bola sepak Oman, ujar penyerang kelahiran Ghana, Cosmos Dauda.

Pemain berusia 29 tahun itu menyertai Al Seeb dan sebelum ini juga mewakili pasukan Oman, Al Rustaq, dalam proses membina banyak pengalaman dan pemahaman tentang permainan di Liga Oman.

Dauda masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua dalam perlawanan akhir zon barat menentang Riffa dan menjaringkan gol keempat pasukannya pada malam itu dengan satu-satunya rembatannya mengenai sasaran.

“Ini adalah perlawanan yang sangat penting dalam sejarah kelab dan untuk pemain. Kami telah bekerja keras satu demi satu untuk sampai ke tahap persaingan ini. Setiap pemain tahu apa erti berada di sini. Tekanan sentiasa ada, tetapi kami perlu mengambil perkara positif dalam setiap situasi.

“Adalah penting untuk kami kekal positif, fokus dan mengekalkan disiplin mental. Saya percaya ia akan menjadi 90 minit yang mencabar dan kami perlu berjuang sehingga tamat. Kami tahu betapa pentingnya untuk kami sebagai pemain dan negara secara keseluruhannya,” kata Dauda.

Tiada kelab Oman yang pernah menjuarai Piala AFC, malah Al Seeb akan menjadi pasukan pertama dari negara itu untuk bersaing di final apabila mereka menentang Kuala Lumpur City FC yang tampil penuh kejutan.

Dalam perjalanan mereka ke final, Al Seeb berdepan Kuwait SC, Jableh SC dari Syria dan Al Ansar dari Lubnan di peringkat kumpulan sebelum menewaskan Al Arabi dari Kuwait di separuh akhir zon barat dan mengalahkan Riffa pada perlawanan akhir.

Perjalanan ke ibu negara Malaysia akan menjadi pertemuan pertama mereka dari luar Asia Barat, tetapi Dauda tidak goyah dengan cabaran itu.

“Bola sepak adalah sukan global. Ia adalah sama di mana-mana. Bola sepak adalah satu bahasa. Semuanya bergantung pada mentaliti. Al Seeb adalah kelab terkemuka dengan permintaan yang tinggi, dan kami perlu menyematkan dalam fikiran kami. Kami menghormati pihak lawan dan kami tidak memandang rendah sesiapa.

“Ia adalah perlawanan antarabangsa, tetapi kami percaya kami perlu melakukan perkara yang sama. Tiada ruang untuk berpuas hati. Akhirnya, kerja keras akan membuahkan hasil,” katanya lagi.