PERANCANG tengah versatil Kuala Lumpur (KL) City FC, Kenny Pallraj laung semboyan bahawa dia tidak gentar untuk berhadapan dengan mana-mana pemain lawan dalam aksi final menentang kelab Oman, Al Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu.
“Saya langsung tidak gentar untuk berhadapan dengan mana-mana pemain. Semua tahu bagaimana kental saya bermain,” kongsinya kepada wartawan FLASH SUKAN.
Jelas Kenny, meskipun KL City FC tidak begitu baik di liga Malaysia, tetapi ianya dipadamkan dengan prestasi luar biasa di pentas Asia.
Mengambil contoh terdekat pasukan Urawa Reds Diamonds tidak begitu cemerlang di Liga Jepun, namun berjaya mara ke peringkat tertinggi kejohanan di peringkat Asia merupakan sesuatu yang lebih dipandang tinggi.
“Tidak mustahil dengan kemampuan terkini, kita mampu menjadi seperti Urawa Reds. Sampai Mati Kuala Lumpur. Jangan risau, doakan ia malam Kuala Lumpur sebagai wakil Malaysia,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kenny turut menagih sokongan penyokong untuk membanjiri stadium bagi memberi sokongan padu serta berharap kejayaan milik The City Boys dan semua rakyat Malaysia.
“Penyokong tolong hadir. Gemuruhkan stadium supaya pemain bersemangat dan kita raikan kejayaan pasukan KL City FC sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
KL City FC melakukan debut bertemu kelab Oman, Al Seeb dalam perlawanan akhir dan telah bersedia untuk layak ke peringkat kelayakan playoff ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) sekaligus meniti peluang memasuki saingan kumpulan supaya setanding kelab tersohor Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT).