MAJIKAN mendiang P.Rajes mahu memberi komitmen berpanjangan kepada keluarga pemain pertahanannya itu, sebagai tanda penghargaan kelab terbabit terhadap pemain berdedikasi tinggi itu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PJ City FC, Ganesh Shanmugam berkata, pengerusi kelab terbabit, Datuk Seri Vijay Eswaran menyuarakan hal itu kepadanya, dan pihak PJ City sedang merangka pelan bantuan jangka panjang terbabit.
“Pengerusi ada nyatakan mahu sediakan pelan bantuan jangka panjang, bukan sebulan, bukan enam bulan tapi komitmen berpanjangan dalam bentuk kewangan bagi membantu keluarga mendiang. Bagaimanapun, perbincangan mengenainya masih di peringkat awal dan saya tidak dapat mengumumkannya sekarang,” kata Ganesh, ditemui di rumah mendiang ketika Perkeso melakukan ziarah dan menyampaikan bantuan Faedah Orang Tanggungan di bawah skim Perkeso pada Jumaat.
Ganesh berkata, sebelum ini PJ City sudah menyampaikan sumbangan RM10,000 dari kelab itu kepada balu mendiang, Komathy Samudramu, 36, untuk digunakan bagi menguruskan pengebumian mendiang P Rajes,
Sementara itu, Ganesh berkata, perlawanan pertama Piala Malaysia menentang JDT Rabu ini, akan menjadi perlawanan ‘tribute’ kepada mendiang dan seluruh kutipan tiket di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada hari berkenaan akan diserahkan kepada kepada balu mendiang.
Beliau menyifatkan mendiang P.Rajes sebagai seorang pemain professional yang berdisipling tinggi dan mempunyai sifat kepimpinan yang baik.
Mendiang P.Rajes meninggal dunia pada usia 37 tahun, selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sri Batu Caves, apabila amotosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar pokok kira-kira jam 10.30 malam Ahad lalu.
Mendiang meninggalkan seorang isteri Komathy Samudramu dan tiga anak Thivyaalini, 9; Pirutheswar, 7; dan Kaveenilavan, 1 tahun 9 bulan.
Sepanjang kerjayanya sebagai pemain bola sepak, mendiang pernah beraksi bersama MP Selayang, Sabah, PKNS, Sahzan Muda, Selangor, Kedah dan PC City sebagai pasukan terakhirnya, sebelum meninggal dunia.