BIARPUN tampil kali pertama di saingan Piala AFC 2022, nyata kelab dari Oman, Al Seeb bukanlah lawan yang boleh dipandang enteng wakil Malaysia, Kuala Lumpur City FC dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, jam 7 malam esok.
Daripada corak permainan sebelum ini, pasukan tersebut gemar membuat breakthrough pantas dengan membuat hantaran pantas sebelum menggelecek pertahanan lawan untuk menyumbat gol.
KL City FC tidak boleh leka dengan pemain Al Seeb yang memiliki keupayaan teknik individu yang baik terutama dalam situasi satu lawan satu, di mana mereka mempunyai skil baik dan pantas.
Situasi tersebut merupakan antara elemen merbahaya Al-Seeb kerana sebarang kealpaan bakal mendatangkan padah kepada anak buah Bojan Hodak.
Enam tonggak pemain Al-Seeb yang turut menyarung jersi pasukan kebangsaan Oman semestinya sudah terbiasa dengan lawan dari kelab Asia yang lain.
Antara pemain yang bakal menghadirkan kesukaran buat pasukan KL City FC adalah Mohammed Al-Musalami, Abdul Aziz Al-Muqbali, Ali Al-Busaidi, Salah Al-Yahyaei, Muhsen Al-Ghassani, Juma Al-Habsi, Abdul Gheilani, Ahmed Faraj Al-Rawahi, Mohamed Al-Amri dan Marwan Mubarak.
🇴🇲 @Seeb_SC have 5⃣ different players leading in 5⃣ different statistics 📊#AFCCup2022 final 🔜 pic.twitter.com/pjCDJxvosW
— #AFCCup2022 (@AFCCup) October 17, 2022
Skil individu tinggi dimiliki serta fizikal yang lebih besar merupakan antara kunci pemain ini yang nyata digeruni lawan mereka sebelum ini.
Berdasarkan analisis yang dibuat, tiada masa rehat buat skuad kendalian Bojan Hodak untuk perlawanan malam esok selain perlu memberi sepenuh tumpuan mengekang gerakan penuh berbahaya setiap pemain jika ingin bergelar juara.
Bagaimanapun, kehadiran penyokong diharap dapat memberi suntikan motivasi kepada pemain ke-12 meranapkan hajat besar dipasang Al-Seeb, esok di Stadium Nasional Bukit Jalil.