PELUMBA motorsikal tempatan, Syarifuddin Azman atau Damok disahkan bakal menjadi pelumba Moto3 sepenuh masa bermula musim 2023 apabila menandatangani kontrak dengan pasukan MTHelmets-MSi.

Damok yang bakal berlumba di perlumbaan Moto3 Grand Prix MotoGP Malaysia Petronas dalam kategori ‘wild card’ hujung minggu ini pastinya akan menjadikan perkembangan terbaharu dalam kariernya ini sebagai semangat tambahan buatnya berlumba lebih baik.

Dia akan bergandingan dengan teman sepasukan, Diogo Moreira akan bersaing secara sepenuh masa bagi menghadapi 21 perlumbaan bagi musim hadapan yang akan bermula di Litar Algarve, Portugal pada Mac 2023.

 

Kesempatan berlumba di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini pastinya akan digunakan oleh Damok untuk membuktikan kehebatannya dan mengesahkan pilihan yang dilakukan pasukan MTHelmets-MSi itu adalah satu keputusan yang tepat.

Syarifuddin mengikut jejak langkah Zulfahmi Khairuddin, Adam Norrodin dan Khairul Idham Pawi yang pernah mengharumkan nama negara dalam perlumbaan kelas dunia ini.

Kehadiran Damok dalam perlumbaan Moto3 ini kembali meletakkan pelumba Malaysia dalam sukan permotoran ini dimana negara ini tidak pernah gagal menghasilkan pelumba yang berbakat besar dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Dalam sesi latihan bebas yang berlangsung pada Jumaat, Damok mencatatkan masa ke-27 terpantas pada sesi pertama sebelum memperbaiki kedudukan ke tempat ke-16 pada sesi kedua yang terganggu akibat hujan lebat.