KELIBAT pasukan elit Malaysia dan kelab luar negara tidak menggerunkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri pada kejohanan bola sepak Piala Supermokh yang bermula di Gambang, Pahang pada Ahad.
Skuad kendalian Syed Azla Syed Muhamad itu sebaliknya berazam mencipta kejutan dan mengharumkan nama negeri Terengganu dan negara bagi kategori B-13 itu.
Syed Azla ketika ditemui berkata, SMK Ibrahim Fikri itu telah melakukan persiapan rapi sejak dua bulan lalu dengan sesi latihan intensif dan siri aksi pemanas badan.
“Kehadiran kami ke kejohanan itu bukan sekadar menjadi pelengkap atau pasukan belasahan. Kualiti pemain di peringkat umur tidak banyak berbeza cuma aspek fizikal mungkin memainkan peranan.
“SMK Ibrahim Fikri telah muncul juara pusat latihan daerah (PLD) peringkat negeri tahun ini dan skuad 18 pemain ketika ini adalah yang terbaik dikumpul untuk ke Piala Supermokh.
“Saya harap pemain-pemain ambil peluang mempamerkan potensi mereka untuk mencuri perhatian pencari bakat di sana,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.
Selain SMK Ibrahim Fikri, tujuh lagi pasukan akan berentap bagi kategori B-13 antaranya Akademi Mokhtar Dahari (AMD) A, AMD B dan skuad Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).
Turut mengambil bahagian Hwseong FC (Korea Selatan), Akademi PVF (Vietnam), Lion City Sailors (Singapura) dan Buriram United (Thailand) yang bakal menjadi antara lawan anak-anak buah Syed Azla.
Selain kategori B-12, Piala Supermokh turut disertai gergasi Perancis, Paris Saint Germain (PSG), Chonburi FC (Thailand), Cerezo Osaka (Jepun) dan wakil Slovakia, MSK Rezemberok bagi kategori B-14.