TERBUKA DENMARK
HARAPAN melihat juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik merangkul kejuaraan pertama sejak Ogos lalu, tidak kesampaian apabila gandingan terbabit kandas di separuh akhir Terbuka Denmark, Sabtu malam.
Begitupun, beregu lelaki negara yang diletak selaku pilihan keempat kejohanan itu bukan tewas di tangan calang-calang pemain, tetapi ditundukkan pilihan kedua kejohanan dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevins Sanjaya Sukamuljo.
Tewas set pertama 17-21, Aaron-Wooi Yik bangkit dengan permainan kemas di set kedua apabila memenangi perlawanan 21-13, namun terpaksa akur kepada kejagoan pasangan Indonesia 17-21 pada set penentuan.
Terdahulu, beregu campuran professional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai gagal menyaingi ketangkasan pilihan ketiga dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, apabila tunduk 16-21, 22-24.
Turut gagal ke separuh akhir, gandingan beregu lelaki professional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang tewas kepada pilihan kelima dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 16-21, 20-22.
INDONESIA MASTERS
Berita menggembirakan badminton tanah air, datangnya dari negara jiran apabila dua pemain perseorangan lelaki dijadual menentang sesame sendiri di final Indonesia Masters, pada Ahad.
Pilihan ketujuh, Cheam Jun Wei tiada maslaah menjinakkan pemain Taiwan, Lee Chia Hao 21-7, 21-3.
Dia bakal menentang Leong Jun Hao yang mengejutkan pemain berpengalaman Korea, Son Wan Ho yang juga pilihan kelima kejohanan dengan kemenangan 21-18, 18-21, 21-13.
KEJOHANAN REMAJA DUNIA
🗣️ Hear from our legendary Datuk Misbun on #WorldJuniorChampionships2022 mixed team campaign, focus on individual events & hopes for the future#DemiMalaysia#BadmintonMalaysia pic.twitter.com/Gco6H6bnO3
— BAM (@BA_Malaysia) October 22, 2022
Sementara itu, skuad badminton remaja kebangsaan menamatkan acara berpasukan campuran di Kejohanan Remaja Dunia yang berlangsung di Santander, Sepanyol, dengan menduduki tempat kesembilan selepas menewaskan Denmark 4-1.
Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk misbun Sidek berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi pemain yang berjaya mengekalkan kedudukan ke sembilan.
“Secara keseluruhannya prestasi pemain bagus dan beberapa dalam skuad ini berusia 16 tahun, ada peluang cerah pada edisi akan datang.
“Kita harap dapat bentuk pasukan lebih baik dan memperbaiki kedudukan kali ini,” kata Misbun.
Kemenangan skuad negara disumbangkan gandingan campuran Choi Jian Sheng-Lai Ting Cen, perseorangan Wanita Siti Zulaikha Azmi, perseorangan lelaki Justin Hoh dan beregu Wanita Ong Xin Yee-Carmen Ting, sementara beregu lelaki Muhammad Fazriq Razif-Wong Vin Sean tewas kepada lawan dari Denmark.