NAMA Haqimi Azim Rosli tiba-tiba menjadi bualan peminat bola sepak tempatan apabila sering mendapat tempat dalam barisan pemain Kuala Lumpur City FC dan dia juga sentiasa tampil dengan aksi yang sangat membanggakan.

Baru berusia 19 tahun, Haqimi menunjukkan aksi yang matang setiap kali diberikan peluang beraksi sekaligus berjaya memikat ketua jurulatih Bojan Hodak untuk memberikannya peluang beraksi bersama-sama skuad senior KL City.

Dia yang sering dimasukkan sebagai pemain gantian dalam Liga Super melakukan debut dalam Piala AFC apabila dimasukkan pada minit ke-116 ketika aksi final zon Asean menentang Viettel di Hanoi.

Namun dia kini diberikan peluang beraksi di pentas final Piala AFC menentang Al-Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil pada usia 19 tahun apabila masuk pada minit ke-70.

Meskipun hanya bermain 20 minit namun aksinya mendapat pujian Bojan Hodak yang menganggapnya sebagai pemain masa hadapan KL City hasil dari aksi cemerlang yang ditunjukkan olehnya.

“Haqimi hanya bermain 20 minit dan dia sering menunjukkan potensinya dalam permainan liga dan hari ini dia juga bermain cukup baik dalam perlawanan antarabangsa dan dia adalah pemain masa hadapan Kuala Lumpur City,” kata Bojan Hodak ketika sidang media selepas perlawanan.

 

Menurut rekod, Haqimi berjaya menjaringkan satu gol buat KL City ketika membantu skuad warga kota mencatat kemenangan 2-0 ke atas Sri Pahang FC dalam perlawanan Liga Super Malaysia pada September.

Kempen Piala Malaysia yang bakal bermula 25 Oktober 2022 pasti akan membuka satu lagi lembaran dan peluang baharu buat Haqimi untuk membuktikan kemampuannya sebagai penyerang muka yang semakin meningkat naik.