BIARPUN tewas 0-3 berdepan kelab Al Seeb dalam pertarungan final di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, Declan Lambert tetap menyifatkan Kuala Lumpur City FC sangat berdisiplin dalam perlawanan malam tadi.
Dia sempat berkongsi keakrabannya bersama kembar tidak seirasnya, Ryan Lambert yang juga merupakan arkitek tengah KL City FC.
Jelasnya, dari sudut komunikasi memang mereka sering berinteraksi dengan baik dalam dan di luar padang.
Sepanjang penglibatannya dalam dunia bola sepak, dia tidak pernah terpisah dengan kembarnya itu kerana sebelum ini mereka juga bermain dalam kelab yang sama sebelum menyarung jersi KL City FC.
“Ia sangat mudah bermain bersama Ryan. Kami telah bersama sepanjang hidup kami dalam kelab yang sama. Apabila saya berpindah juga, kami pindah sama-sama. Kita tahu kelebihan satu sama lain,” kongsinya ketika ditemubual wartawan FLASH SUKAN.
Dalam pada itu, Declan turut mengakui kehebatan Ryan Lambert mengisi posisi tengah dengan banyak membantu jentera serangan dan bahagian pertahanan.
Bersandarkan kemampuannya dalam pasukan, Declan menganggap pemain tersebut memiliki keupayaan seperti pemain Sabah FC, Park Tae Soo yang juga memiliki versatiliti bermain di posisi tengah dan pertahanan.
“Saya rasa dia adalah seorang pemain tengah sangat baik yang kita ada dalam liga di Malaysia. Kalau saya boleh buat perbandingan dengan pemain lain, saya rasa dia lebih seperti Park Tae Su.
“Dia banyak memenangi bola, sering membantu serangan dan juga sangat pantas turun dalam aspek bertahan. Dia sangat penting untuk terus berada di dalam pasukan. Saya rasa itu kekuatan yang ada padanya,” katanya.