BOJAN Hodak mengakui dia akan mengalami sedikit kesukaran untuk menaikkan semula semangat para pemainnya untuk menghadapi kempen Piala Malaysia selepas tewas ke final Piala AFC pada Sabtu.

Keadaan ini cukup berbeza dengan keadaan ketika dia mempersiapkan pasukan sebagai persediaan menghadapi final kerana para pemain cukup bersemangat untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Kuala Lumpur City dijadualkan bertemu PDRM FC pada 27 Oktober 2022 dan diatas kertas ianya seakan tidak menjadi masalah buat finalis Piala AFC ini untuk menewaskan skuad Sang Saka Biru.

“Untuk perlawanan selepas ini bertemu PDRM saya perlu mencari magis untuk menaikkan semula motivasi para pemain dan saya berharap ianya akan menjadi satu perlawanan yang menarik kerana ia akan menentukan bagaimana kami bangkit selepas kekalahan,” kata Bojan dalam sidang media.

Dia turut menyeru para penyokong untuk datang ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi memberikan sokongan kepada KL City dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.

Kuala Lumpur City FC adalah juara bertahan kejohanan tertua Asia Tenggara itu selepas mengejutkan pasukan pilihan, Johor Darul Ta’zim 2-0 dalam final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada November 2021.

Kini skuad warga kota kembali membawa semangat yang baharu dan perlu segera melupakan kekecewaan tewas di final Piala AFC untuk mengejar satu lagi slot ke Asia yang ditawarkan kepada juara Piala Malaysia 2022 kali ini.