GANDINGAN dua penerjun terbaik negara Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri yang miliki senyuman manis mencuri tumpuan peminat sukan tanah air menjelang temasya Sukan SEA Hanoi di Vietnam dijadual pada 12 hingga 23 Mei ini.

Apa tidaknya, status Malaysia sebagai kuasa besar sukan terjun terutamanya di peringkat Asia Tenggara meletakkan kedua-dua penerjun ini menyapu bersih kesemua pingat emas dipertandingkan.

Gandingan Pandelela dan Nur Dhabitah dalam acara 10m platform seirama bukanlah sesuatu yang baharu, kerana sebelum ini mereka pernah memenangi pingat gangsa pada Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan pingat perak pada Siri Terjun Dunia FINA keempat di Windsor, Kanada pada 2017.

Nur Dhabitah jua akan bertanding dalam acara 1m papan anjal individu wanita namun tidak akan mengambil bahagian dalam acara 3m papan anjal seirama wanita sekali gus terlepas peluang mempertahankan pingat emas.

Selain Pandelela dan Nur Dhabitah, skuad negara akan menurunkan satu lagi atlet Olimpik iaitiu Wendy Ng Yan Yee untuk kategori wanita.

Asas keyakinan ini dilontarkan oleh ketua jurulatih skuad terjun kebangsaan Li Rui yang percaya skuad terjun negara untuk menyapu bersih kesemua lapan pingat emas dipertandingkan dalam acara tersebut.

Memetik laporan BERNAMA, walaupun terdapat beberapa atlet yang akan membuat penampilan pertama mereka di pentas Sukan SEA namun Li Rui tak gusar kerana menganggap itu adalah cabaran kepada atlet.

“Nur Dhabitah dipilih untuk bergandingan bersama Pandelela dalam acara 10m platform seirama wanita di Hanoi selepas berjaya membuktikan kemampuan sepanjang tempoh persediaan menghadapi temasya dwitahunan itu.

“Selepas tamat Sukan Olimpik (Tokyo 2020) kita ada buat persiapan untuk acara platform, setakat ini gandingan Pandelela-Nur Dhabitah nampak bagus. Sebenarnya, sudah tiga tahun dia (Nur Dhabitah) tidak beraksi dalam acara platform tetapi dia tetap okey dan tidak kekok,” katanya.

Lapan acara terjun dipertandingkan pada Sukan SEA Hanoi adalah 10m platform seirama lelaki dan wanita; 3m papan anjal seirama lelaki dan wanita; 3m papan anjal individu lelaki dan wanita serta 1m papan anjal individu lelaki dan wanita.

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Leong Mun Yee dalam laporan media tempatan optimis terhadap keupayaan dimiliki barisan penerjun negara untuk pulang membawa kejayaan, malah ia adalah misi wajib untuk mereka.

Cuma perkara meresahkan adalah fasiliti baharau di Pusat Akuatik My Dinh. Banyak aspek perlu diambil perhatian dan perlu menguji keadaan papan serta platform kerana semua penerjun negara akan melakukan darjah kesukaran yang tinggi !