PENGASAS bersama Red Bull dan pemilik pasukan Formula 1 Red Bull Racing, Dietrich Mateschitz meninggal dunia pada usia 78 tahun selepas mengalami penyakit yang berpanjangan.
Ahli perniagaan Austria itu yang mengasaskan syarikat minuman tenaga Red Bull pada 1984 adalah antara individu yang berpengaruh dalam memperkenalkan jenama Red Bull dalam sukan Formula 1.
Mateschitz memiliki 49 peratus pegangan dalam perniagaan itu dan menjadi individu yang bertanggungjawab memasuki dunia permotoran bermula pertengahan tahun 90an.
We are saddened to hear of the death of Dietrich Mateschitz
The co-founder of Red Bull made an unforgettable contribution to F1, and leaves a lasting legacy pic.twitter.com/ZuBxwY5CzS
— Formula 1 (@F1) October 22, 2022
Red Bull memasuki dunia F1 pada 1995 dengan kerjasama bersama pasukan Sauber dan meningkatkan pegangan kepada 60 peratus sebelum kerjasama itu berakhir pada penghujung musim 2001.
Pada November 2004, Mateschitz membeli pasukan Jaguar Racing dari Ford dan mewujudkan pasukan Red Bull Racing dan dia turut membeli litar A1-Ring di Austria sebelum melakukan kerja ubah suai dan menamakannya Red Bull Ring sebelum dibuka semula pada Mei 2011.
Tidak cukup dengan itu, dia dan
Gerhard Berger bergabung membeli pasukan Minardi daripada Paul Stoddart dan menamakan pasukan itu kepada Scuderia Toro Rosso pada 2012.
Red Bull Racing memenangi kejuaraan Formula 1 pertama pada 2010 dengan Sebastian Vettel menyapu bersih kedua-dua kejuaraan pemandu dan pengeluar empat tahun berturut-turut sehingga 2013.
Kini, Max Verstappen kembali meletakkan Red Bull Racing sebagai juara kategori pemandu selepas muncul juara musim 2021 dan 2022 dan semakin hampir kembali bergelar juara kategori pengeluar untuk tahun 2022 ini.
Selain dari permotoran, bilionair Austria ini turut membeli kelab bola sepak SV Austria Salzburg dan MetroStars sebelum menamakannya kepada Red Bull Salzburg dan New York Red Bulls.
Dia turut mengasaskan pasukan RB Leipzig pada 2009 dan juga menjadi pemilik kelan ais hoki Jerman EHC Munchen, yang ditukarkan namanya kepada Red Bull München.