LEGENDA hoki negara, Maninderjit Singh mendesak beberapa perubahan dilakukan dalam skuad hoki kebangsaan selepas dilihat tidak mempunyai progres sejak tujuh tahun yang lalu.
Maninderjit meluahkan rasa kecewa menerusi laman Twitternya selepas skuad Speedy Tigers tewas keempat-empat perlawanan ujian menentang skuad utama Australia yang berlangsung di Perth.
Kenyataan ini dikeluarkan selepas jurulatih kebangsaan Arul Selvaraj menyatakan kepada media bahawa skuad negara dapat mempelajari banyak perkara menerusi perlawanan ujian ini meskipun gagal menjaringkan sebarang gol dari empat perlawanan ujian itu.
Dah 7 tahun sejak 2015 belajar lagi sampai sekrg.
Dah pakai 14 Consultant Asing dari Neil Hawgood hingga Paul Revington tetapi tiada keputusan atau peningkatan… tidak layak ke Olimpik.
Cukuplah budaya persepsi…
Tak bagus tak bagus lah…
Kita ada bakat!@malaysiahockey https://t.co/RnjFGG3eiJ
— Maninderjit (Mike) OLY (@ManinderjitMike) April 29, 2022
“Dah tujuh tahun sejak 2015 belajar lagi sampai sekarang. Dah pakai 14 perunding asing dari Neil Hawgood hingga Paul Revington tetapi tiada keputusan atau peningkatan. Kita masih tidak layak ke Olimpik. Cukuplah budaya persepsi, jika tidak bagus tidak bagus lah. Kita ada bakat!,” tulis Maninderjit.
Memang benar apa yang dikatakan bekas pemain kebangsaan yang dikenali Mike ini. Perlu diakui bahawa Australia adalah pasukan yang kuat dan berada pada ranking pertama tetapi pulang tanpa sebarang jaringan pastinya akan menimbulkan persoalan dikalangan bekas pemain dan pengamal media.
Dalam siri jelajah Australia sebagai persediaan ke Hoki Piala Asia di Jakarta, Speedy Tigers tewas 0-3, 0-7 dan 0-5 sebelum sekali lagi tunduk 0-3 dalam perlawanan keempat.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik adalah pada Temasya Sydney 2000 dan hanya berjaya memenangi Kejohanan Sukan Sea sahaja. Malaysia kini di ranking ke-11 dunia dan kedua di rantau Asia.