SELEPAS dua tahun tidak dianjurkan, Grand Prix MotoGP Malaysia Petronas 2022 berjaya dilangsungkan dengan tiga perlumbaan menarik disajikan para pelumba tempatan dan antarabangsa.

Perebutan kejuaraan pelumba dalam dua kelas, Moto2 dan MotoGP dilihat berjaya menarik peminat sukan motosikal tempatan apabila 163,000 penonton dicatatkan hadir sepanjang tiga hari perlumbaan itu berlangsung.

Meskipun angka ini tidak dapat mengatasi rekod kehadiran penonton pada 2019, 170,000 tetapi ianya masih angka yang baik selepas pandemik dan kredit perlu diberikan kepada penganjur, Litar Antarabangsa Sepang.

 

Kehadiran tiga pelumba tempatan menerusi tiket wildcard juga antara penyumbang jumlah kehadiran yang tinggi selain kerinduan terhadap perlumbaan antarabangsa yang sudah lama tidak dirasai para penonton.

John McPhee memenangi perlumbaan Moto3 yang dramatik dengan pemenang hanya ditentukan pada selekoh terakhir yang melibatkan empat pelumba.

Dalam perlumbaan Moto2 pula, Tony Arbolino muncul juara selepas pendahulu keseluruhan, Ai Ougura terjatuh di pusingan terakhir ketika bersaing untuk merebut kemenangan.

Pendahulu keseluruhan MotoGP, Francesco Bagnaia berjaya meraih tempat pertama mengatasi Enea Bastianini dan Fabio Quartararo sekaligus penentuan kejuaraan bakal ditentukan pada perlumbaan terakhir di Valencia.

Pelumba negara, Kasma Daniel dan Azroy Anuar masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat ke-19 dan 22 kategori Moto2 manakala Syarifuddin Azman atau Damok menamatkan perlumbaan Moto3 di tempat ke-16.