PENGERUSI Kelab Legasi Kedah, Mohamad Hazriq Fahimy Abdullah mendedahkan penubuhan House Of Sang Kenari merupakan sebuah hub yang berperanan sebagai pusat aktiviti bagi Sang Kenari 1924.
Menurutnya, antara aktiviti utama adalah menjadi medan pusat berkumpul bagi penyokong menyaksikan perlawanan bola sepak secara langsung khususnya yang melibatkan pasukan Kedah Darul Aman FC dan lain-lain perlawanan dalam atau luar negara.
“Penubuhan House Of Sang Kenari ini bukanlah untuk mencari publisiti ataupun sebagainya. Ia adalah berpaksikan kepada semangat, usaha, dan rasa sayang kami semua kepada sejarah dan legasi pasukan bola sepak negeri Kedah.
“Besar harapan kami agar dengan penubuhan rumah Sang Kenari ini dapat menjadi satu hub yang dapat menyatukan seluruh komuniti penyokong bolasepak negeri Kedah Darul Aman,” katanya semasa pelancaran KDA FC x SANG KENARI 1924 Rakan Rasmi Rumah Kelab di Alor Setar pada Isnin.
Menurut Mohamad Hazriq Fahimy, pihaknya juga telah berkerjasama dengan Kedah Darul Aman FC bagi memaksimumkan lagi penggunaan dan fungsi rumah kelab ini.
“Selepas ini kita akan merencana lebih banyak program dan aktiviti khusus buat anda semua,” ujarnya.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali dan Penaung House Of Sang Kenari, Azraai Khor Abdullah, Pencetus lagu Hijau Kuning, Michael Ooi, pemain serta wakil kelab penyokong.
Sementara itu, Khamal memuji kesungguhan dan komitmen diterajui Azraai dan Mohamad Hazriq Fahimy yang menggerakkan hub komuniti House Of Sang Kenari.
Katanya, ia merupakan satu platform dicipta penyokong Kenari bagi mendekatkan diri dengan peminat sekaligus membawa jenama negeri Kedah ke pelosok negeri.